Anda di sini

Man United tewaskan Villa, City tangguh rai kejuaraan

Advertisement
 Pemain pertahanan West Bromwich Albion Darnell Furlong (tengah) menanduk bola pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Arsenal dan West Bromwich Albion di Stadium Emirates, kelmarin. — Gambar AFP
AKSI SEBENAR: Pemain pertahanan West Bromwich Albion Darnell Furlong (tengah) menanduk bola pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Arsenal dan West Bromwich Albion di Stadium Emirates, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Harapan Manchester City untuk meraikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris tertangguh sekali lagi apabila Manchester United bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Aston Villa 3-1 sementara West Bromwich Albion akhirnya disahkan tersingkir dari liga selepas tewas juga 1-3 kepada Arsenal pada Ahad.

Peluang West Ham United memburu empat tangga teratas kelihatan semakin sukar selepas tewas 0-1 kepada Everton.

City terlepas peluang pertama mengesahkan kejuaraan liga apabila tewas 1-2 kepada Chelsea pada Sabtu tetapi mempunyai peluang kedua pada Ahad jika Manchester United tewas di Villa Park.

Mereka sudah mula merancang untuk satu pesta kegembiraan apabila Bertrand Traore meletakkan Villa di hadapan tetapi Bruno Fernandes mengikat kedudukan dari satu tendangan penalti sebelum Mason Greenwood dan Edinson Cavani memastikan City terpaksa menunggu beberapa hari lagi sebelum meraikan kejuaraan mereka.

Ditanya jika beliau gembira memaksa City menunggu lagi, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer berkata: “Ia adalah perkara yang terbaik. Sekurang-kurangnya kami tidak mengharungi pesta kegembiraan mereka (penyokong City) malam ini. Kami akan cuba menangguhkannya selama yang kami mampu.”

City, dengan baki tiga perlawanan, memiliki kelebihan 10 mata di singgahsana liga berbanding United, yang mempunyai baki empat perlawanan.

United menanti kunjungan Leicester City pada Selasa dan Liverpool pada Khamis, dengan kekalahan pada salah satu perlawanan itu menjamin kejuaraan liga buat City, yang beraksi menentang Newcastle United pada Jumaat.

Villa membuka jaringan pada minit ke-24 apabila  Traore, yang melepasi kawalan Victor Lindelof, merembat bola cantik ke pintu gol United.

Tetapi Paul Pogba memperolehi tendangan penalti minit ke-52 apabila dikasari Douglas Luiz, membolehkan Fernandes menyempurnakan gol penyamaan.

Greenwood meletakkan United di hadapan buat kali pertama empat minit kemudian sebelum kehilangan kapten pasukan, Harry Maguire kerana kecederaan selepas bertembung dengan Anwar El Ghazi.

Cavani melengkapkan jaringan dengan satu tandukan dari umpanan Marcus Rashford pada minit ke-87.

West Brom tiba di Stadium Emirates dengan memerlukan kemenangan untuk mengekalkan impian tipis mengelak penyingkiran.

Tetapi mereka ketinggalan 0-2 selepas 30 minit permainan menerusi gol Emile Smith Rowe dan Nicolas Pepe.

Matheus Pereira  merapatkan kedudukan pada  minit ke-67 tetapi gol Willian pada minit ke-90 mengesahkan nasib West Brom kembali ke Liga Kejuaraan selepas hanya satu musim.

Kekalahan buat West Brom bermakna pengurusnya, Sam Allardyce, gagal buat kali pertama dalam kerjayanya mengelak penyingkiran dari Liga Perdana Inggeris.

“Ia masih belum hilang tetapi saya pasti saya akan bangun esok hari dan menyedari situasinya,” kata Allardyce.

“Saya sangat kecewa tetapi kami tidak mampu bersaing,” tambah beliau, yang menggantikan Slaven Bilici pada bulan Disember dengan West Brom berada di  tangga kedua dari bawah liga.

“Masalah sebenar kami ialah gagal menewaskan enam pasukan terbawah. Keputusan mengejut ketika menentang Chelsea, Manchester United dan Manchester City seharusnya menjadi mata bonus.”

Kemenangan buat Arsenal ini hadir beberapa hari selepas gagal layak ke final Piala Europa selepas seri tanpa jaringan dengan Villarreal pada perlawanan separuh kedua, setelah  tewas 1-2 pada perlawanan pertama.

“Kami memerlukan kemenangan,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta. “Ia sudah agak lama sejak kami menang di tempat sendiri.”

Di Stadium London, West Ham tersentak dengan gol Dominic Calvert-Lewin pada minit ke-24 dan kekalahan menyebabkan West Ham kini lima mata di belakang pasukan di tangga keempat, slot  terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara iaitu Leicester City dengan baki tiga perlawanan musim ini.

Kemenangan meletakkan Everton di tangga kelapan dan masih di landasan untuk layak ke Liga Europa musim hadapan.

Brighton mensia-siakan peluang mengesahkan status sebagai kelab Liga Perdana musim hadapan apabila tewas 1-2 di Wolves.

Brighton membuka jaringan pada minit ke-13 apabila Lewis Dunk menanduk tendangan sudut Pascal Gross, dengan Brighton memerlukan kemenangan untuk mengelak penyingkiran.

Namun kapten Brighton, Dunk, dibuang padang pada minit ke-53 selepas  mengasari Fabio Silva.

Wolves mengikat kedudukan pada minit ke-76 menerusi gol Adama Troare sebelum Morgan Gibbs-White menjaringkan gol kemenangan pada  minit ke-90.

Brighton memiliki kelebihan 10 mata di atas zon penyingkiran dengan Fulham, pasukan di tangga ketiga dari bawah liga, yang memiliki baki empat perlawanan, bermain lewat menentang Burnley. — AFP

Advertisement