Anda di sini

Hamilton juarai GP Sepanyol, atasi Verstappen

Advertisement
HAMILTON
HAMILTON

BARCELONA: Lewis Hamilton meraih kemenangan kelima berturut-turut di Grand Prix Sepanyol pada Ahad, mengatasi pemandu Red Bull, Maxi Verstappen selepas strategi hebat hentian pit pasukan Mercedes pada Ahad.

Hamilton kini memiliki 98 kemenangan perlumbaan Formula Satu (F1) dalam kerjayanya selepas strategi mengejut pertukaran tayar kali kedua memperdayakan Red Bull untuk meletakkan beliau kini berkelebihan 14 mata berbanding Verstappen dalam senarai keseluruhan pemandu.

“Ia adalah satu strategi hebat oleh pasukan. Hari  yang hebat!” kata Hamilton, yang dengan pantas menyedari kehadiran penonton dengan jumlah terhad yang dibenarkan hadir, sesuatu yang jarang dilihat pada masa pandemik COVID-19.

“Ia sangat hebat. Saya melihat bendera British dikibarkan, sesuatu yang sudah lama tidak saya lihat. Saya satu perasaan yang hebat selepas ini. Saya merasakan saya boleh melakukannya sekali lagi.”

Hamilton bermula dari petak pertama buat kali ke-100 dalam kerjayanya tetapi dipintas oleh Verstappen di selekoh pertama dengan Charles Leclerc dari pasukan Ferrari juga memintas rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas di selekoh kedua sebaik sahaja perlumbaan bermula.

Pada pusingan kelapan, pemandu Alpha Tauri, Yuki Tsunoda terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal apabila enjin keretanya rosak dengan kereta keselamatan masuk seketika dalam litar ketika kereta Tsunoda dikeluarkan dari litar.

Verstappen menangani cabaran Hamilton dengan mudah selepas perlumbaan disambung semula pada pusingan ke-11 dengan Leclerc juga mengekalkan kedudukan di hadapan Bottas.

Selepas satu pertiga perlumbaan, pusingan pertama hentian pit bermula dengan semua perhatian diberikan kepada dua pemandu teratas yang memiliki perbezaan kurang satu saat di antara mereka.

Verstappen masuk ke pit pada pusingan ke-25 tetapi sedikit masalah di hentian pit menyebabkan beliau sedikit terlewat untuk kembali ke litar.

Mercedes memanggil Hamilton masuk ke pit beberapa pusingan selepas itu ketika mereka berharap tayar baharu boleh memberikan Hamilton kelebihan sehingga ke garisan penamat.

Sebelum itu, Hamilton mencipta masa terpantas untuk berada lebih dari dua saat di hadapan Verstappen dan pada pusingan ke-43, Mercedes melakukan strategi bijak ketika Hamilton kurang dua saat dari Verstappen, memanggil Hamilton kembali ke pit untuk menukar satu set lagi tayar.

Beliau kembali ke litar dengan ketinggalan 23 saat di belakang Verstappen, yang kelihatan dalam bahaya gagal mengekalkan cengkaman tayar untuk lebih lama.

Jangkaan Mercedes bahawa tayar kereta Verstappen tidak mampu bertahan lebih lama sehingga ke garisan penamat ternyata benar apabila Hamilton memiliki kurang tiga saat di belakang Verstappen ketika berbaki 10 pusingan dan tidak lama selepas itu, berjaya memotong Verstappen untuk mendahului perlumbaan dan tidak menoleh ke belakang lagi selepas itu.

Hamilton berkata, pada mulanya beliau keliru dengan keputusan diberikan oleh pegawai  teknikal pasukan untuk memasuki pit buat kali kedua.

“Saya hampir untuk memintas (Verstappen) ketika mendapat arahan (kembali ke pit buat kali kedua). Saya keliru sama ada mahu memasuki pit atau tidak mengendahkan arahan?’

“Saya melakukan apa yang diarahkan pasukan kerana ada kepercayaan tinggi di antara kami dan ia sesuatu keputusan yang luar biasa.”

Pengurus Red Bull, Christian Horner, menerima kekalahan dengan hati terbuka: “Secara adilnya, pujian kepada Mercedes dan Lewis.”

Verstappen berkata: “Kami tidak berada di kedudukan yang kami mahu dan kami masih perlu berusaha lebih gigih dan mengejar kerana ketika ini kami masih agak terlalu perlahan tetapi berbanding tahun lepas, ia satu peningkatan bagi kami.”

Bottas menduduki tempat ketiga, di hadapan Leclerc dan Sergio Perez, pemandu kedua Red Bull. — AFP

Advertisement