Anda di sini

Lyon singkirkan Lorient lonjak ke slot kelayakan Liga Juara-Juara

Advertisement
 Penyerang Lyon Rayan Cherki (tengah) diasak pemain tengah Lorient Laurent Abergel (kiri) dan pemain pertahanan Lorient Trevoh Chalobah pada perlawanan Ligue 1 Perancis  di antara Olympique Lyonnais dan FC Lorient di Stadium Groupama di Decines-Charpieu, kelmarin. — Gambar AFP
DIASAK: Penyerang Lyon Rayan Cherki (tengah) diasak pemain tengah Lorient Laurent Abergel (kiri) dan pemain pertahanan Lorient Trevoh Chalobah pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Olympique Lyonnais dan FC Lorient di Stadium Groupama di Decines-Charpieu, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Lyon melonjak ke slot kelayakan ke Liga Juara-Juara dan mengekalkan peluang tipis memburu kejuaraan Ligue 1 Perancis apabila menewaskan Lorient 4-1 dengan Bruno Guimaraes menjaringkan dua gol pada Sabtu.

Skuad kendalian Rudi Garcia  itu naik ke tangga ketiga dengan kelebihan dua mata di hadapan Monaco, yang bermain lewat menentang Reims untuk slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Lyon masih boleh memenangi kejuaraan liga tetapi ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, Lille dengan baki dua perlawanan musim ini.

“Kami melaksanakan tugas untuk memberikan tekanan kepada Monaco dan pasukan lain,” kata Bruno.

“Sasaran kami ialah untuk layak ke Liga Juara-Juara. Ketika ini, kami di tangga ketiga tetapi saya mungkin tidak mahu menonton perlawanan Monaco.”

Paris Saint Germain (PSG) boleh merapatkan kedudukan di belakang Lille dengan kurang satu mata jika menewaskan Rennes pada perlawanan lewat.

Lyon meningkatkan peluang memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara dengan menewaskan Monaco 3-2 minggu lepas dan mereka mengulangi rentak yang sama ketika menentang Lorient.

Mereka bagaimanapun bergelut menembusi pintu gol lawan yang diancam penyingkiran liga dalam separuh masa pertama sebelum mula menyerlah selepas rehat.

Houssem Aouar meletakkan Lyon di hadapan pada minit ke-53 dan tandukan Lucas Paqueta menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-65.

Bruno melihat penalti beliau ditepis penjaga gol Paul Nardi ketika berbaki 20 minit permainan tetapi penjaga gol Lorient kelihatan terlebih awal keluar dari posisi sebelum tendangan dilakukan, menyebabkan penalti itu diambil sekali lagi dan Bruno tidak melakukan kesilapan yang sama untuk meletakkan Lyon 3-0.

Bruno melengkapkan jaringan pada minit ke-77 sebelum Thomas Monconduit menjaringkan gol sagu hati lewat buat Lorient.

Pada perlawanan lain, Nantes, yang menduduki slot playoff penyingkiran liga, menewaskan Bordeaux  3-0 untuk kurang satu mata di hadapan pasukan di tangga ke-17 liga, Lorient dan Strasbourg, yang berada di tangga ke-16 liga.

Gol oleh Kalifa Coulibaly, Imran Louza dan Randal Kolo memastikan kemenangan ketiga berturut-turut Nantes ketika mereka cuba mengelak dari penyingkiran yang pertama sejak naik ke Ligue 1 pada musim 2012/2013.

Bordeaux hanya satu mata di hadapan Lorient dan Strasbourg ketika saingan mengelak penyingkiran semakin sengit. — AFP

Advertisement