Anda di sini

Inter Milan rangkul juara Serie A Itali

Advertisement
 Conte (tengah), pemain dan kakitangan meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan Serie A Itali di antara Inter Milan menentang Sampdoria di stadium San Siro di Milan, kelmarin. — Gambar AFP
RAI: Conte (tengah), pemain dan kakitangan meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan Serie A Itali di antara Inter Milan menentang Sampdoria di stadium San Siro di Milan, kelmarin. — Gambar AFP

MILAN: Dengan ribuan penyokong meraikan kejuaraan di luar Stadium San Siro dan satu barisan hormat menyambut pemain oleh pasukan lawan, Inter Milan meraikan kejuaraan Serie A Itali  yang pertama mereka sejak lebih satu dekad dengan kemenangan 5-1 ke atas Sampdoria, sekali gus memberikan skuad kendalian Antonio Conte itu kemenangan ke-14 berturut-turut di tempat sendiri.

Perlawanan pada Sabtu itu berlangsung tanpa penonton kerana peraturan COVID-19 tetapi ribuan penyokong Inter tetap meraikannya di luar stadium.

“Kepuasan itu cukup besar,” kata Conte.

“Ia biasa di mana kami dan penyokong kami sangat terdesak untuk meraikan sesuatu yang sudah mereka tunggu begitu lama. Kami berasa gembira untuk memberikan mereka kegembiraan ini.”

Pemain Sampdoria membentuk barisan hormat untuk menyambut kehadiran juara baharu yang mengesahkan kejuaraan Scudetto ke-19 dalam sejarah  kelab tetapi yang pertama sejak 2010 pada minggu lepas.

Sampdoria, skuad kendalian Claudio Raniero yang berada di tangga kesembilan liga, gagal mencemari kegembiraan Inter walaupun ada menjaringkan satu gol pada minit ke-35 menerusi rembatan Keita Balde.

“Inter bermain dengan penuh keazaman,” kata Ranieri. “Mereka bermain dengan sangat bagus.”

Ranieri, yang membimbing Leicester City memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada 2016, berkata pasukannya mahu memberi penghormatan di atas kejayaan Inter dengan melakukan barisan hormat menyambut kemasukan pemain Inter.

“Saya memberitahu pemain bahawa ia adalah menarik untuk memberi penghormatan sama seperti di England dan mereka bersetuju dengan saya,” kata beliau.

Bintang utama Inter, Romelu Lukaku dan beberapa pemain penting yang membantu Inter memenangi kejuaraan liga, bermula di bangku simpanan ketika Conte memilih untuk menurunkan beberapa pemain yang kurang diturunkan sepanjang musim ini.

Roberto Gagliardini membuka jaringan seawal minit keempat apabila menyempurnakan hantaran Ashley Young.

Alexis Sanchez menambah dua lagi gol dalam tempoh 10 minit, di antara gol Balde.

Pemain gantian, Andrea Pinamonti menjaringkan gol keempat selepas sejam permainan sebelum Lautro Martinez melengkapkan jaringan dari tendangan penalti ketika berbaki 20 minit permainan untuk memastikan kemenangan ke atas lawan yang menewaskan Inter pada awal musim, salah satu dari hanya dua kekalahan setakat ini.

Sejak tewas kepada Sampdoria, Inter mengharungi 18 perlawanan tanpa kalah dan sekarang mereka sudah meraih 14 kemenangan berturut-turut di tempat sendiri buat kali pertama.

Pada perlawanan lain, Napoli menewaskan Spezia 4-1 untuk naik ke tangga kedua liga, 15 mata di belakang Inter dan mengekalkan impian kelayakan ke Liga Juara-Juara tetapi harapan Lazio memburu kelayakan ke bola sepak Eropah tersentak apabila tewas 0-2 di Fiorentina.

Napoli kini satu mata di hadapan tiga pasukan lain – Atalanta, Juventus dan AC Milan – yang terikat 69 mata sebelum perlawanan hujung minggu.

Lazio di tangga keenam, kurang lima mata di belakang pasukan di tangga keempat dan sudah bermain lebih satu perlawanan.

Dusan Vlahovic menjaringkan dua gol untuk Fiorentina dan  membantu kelab menjarakkan lagi kedudukan dari zon penyingkiran. — AFP

Advertisement