Anda di sini

Cadangan pembinaan kolam renang berukuran Olimpik di Sibu Jaya

Advertisement
WONG
WONG

SIBU: Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Wong Ching Yong mencadangkan pembinaan kolam renang berukuran Olimpik di Sibu Jaya kini pesat membangun.

Wong mendedahkan beliau telah menulis surat kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberi pertimbangan sewajarnya mengenai perkara itu.

“Saya menulis surat kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengusulkan membina kolam renang berukuran Olimpik di Sibu Jaya.

“Saya bertemu dengan beliau (Abdul Karim) dan bertanya apakah ada kemungkinan membangunkan sebuah kolam renang berukuran Olimpik di Sibu Jaya.

“Kemudian, Abdul Karim mengatakan beliau memberi pertimbangan sewajarnya kerana kolam renang sesuai dengan kemudahan stadium sukan yang ada sekarang.

“Jika ada kolam renang di Sibu Jaya maka kita ada kompleks sukan yang lengkap - baik darat mahupun air,” kata Wong kepada pemberita di sini semalam.

Sebagai tambahan, beliau mengatakan bahawa Sibu Jaya adalah bandar terancang baharu paling pesat berkembang di Sarawak.

Penduduknya sekitar 35,000 dan masih bertambah dan terdapat tiga buah sekolah dengan gabungan jumlah pelajar sekitar 5,000.

Beliau berkata, selain di Kuching tidak ada kolam renang lain di Sarawak memenuhi syarat menganjurkan kejohanan renang kebangsaan kerana kolam renang di Sibu dan Miri tidak memenuhi syarat ketat FINA (Persekutuan Renang Antarabangsa)/  Persatuan Renang Amatur Malaysia.

“Kami berharap Sibu Jaya menghasilkan pingat Olimpik lain seperti Pandelela Rinong,” kata Wong bersemangat.

Advertisement