Anda di sini

Astro himpun lebih 270 program istimewa pada Syawal ini

Advertisement
 

WALAUPUN sambutan Aidilfitri pada tahun ini sekali lagi diraikan ketika penularan pandemik COVID-19 masih di tahap yang membimbangkan, ia tidak sedikitpun melunturkan semangat Astro untuk terus mencari ruang penambahbaikan bagi memastikan pelan inisiatif kandungan strategik yang dirangka secara holistik mampu memberi impak hingga terus ke hati segenap pelanggannya.

Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Menurut Azlin lagi, tema ‘Buka Lembaran Baharu’ telah dipilih khas untuk menerajui Kempen Ramadan Raya Astro 2021 kerana elemen tersebut membawa pengertian yang sungguh bermakna dalam menyuntik inspirasi sekaligus mengangkat semula semangat rakyat Malaysia yang pastinya terkesan akibat pandemik.

“Dengan inspirasi tersebut, pengisian Syawal tahun ini bakal disemarakkan dengan himpunan lebih 270 program-program hebat di semua rangkaian platform Astro termasuklah televisyen, radio dan digital,” katanya.

Sebanyak 229 buah rancangan televisyen baharu pelbagai genre bakal disajikan di saluran-saluran Melayu Astro. Manakala stesen-stesen yang bernaung di bawah Astro Radio juga akan memperluaskan lagi penyampaian mesej ‘Buka Lembaran Baharu’ menerusi segmen yang dikeudarakan.

Gempak, Ria X, Rojak Daily dan SYOK juga turut tidak ketinggalan memperbanyakkan pengisian yang seiringan dengan kempen ini di platform digital.

“Bagi peminat karya premium, filem-filem terbaharu turut dibawakan terus ke pawagam rumah anda menerusi platform Astro First dan Astro Best untuk dilanggan. Rocketfuel Entertainment juga hadir dengan buah tangan terbaharu menerusi dua buah lagu raya pada tahun ini,” ujarnya.

Dua buah lagu istimewa raya terbitan Rocketfuel Entertainment hasil ciptaan komposer S. Atan dan lirik oleh Siso Kopratasa berjudul ‘Aidilfitri Lembaran Baru’ dan ‘Lebaran Telah Tiba’ itu telah pun dilancarkan di platform JOOX, Spotify, Apple Music, iTunes dan Deezer pada 23 April lepas.

Lagu ‘Aidilfitri Lembaran Baru’ menyaksikan paduan suara barisan penyanyi seperti Syamel, Ernie Zakri, Ruffedge, Ara Johari, Masya Masyitah dan Usop manakala lagu ‘Lebaran Telah Tiba’ pula menampilkan Syamel, Ernie Zakri, Sufi Rashid, Amira Othman, Irfan Harris, Timah dan Yuka Kharisma.

Tambah Azlin lagi, iklan komersial terbitan Astro juga merupakan antara pengisian utama yang sering menjadi perhatian ramai dan cukup dinantikan setiap kali Syawal menjelma.

“Jika tahun lepas kita hadir dengan genre animasi, tahun ini kami kembali memilih naskhah pendek yang cukup dekat dengan hati masyarakat zaman sekarang. Semoga kisah kali ini sekali lagi diterima baik dan mampu memberikan kesan yang mendalam seperti iklan-iklan komersial yang pernah diterbitkan sebelum ini,” kata Azlin.

Menerusi kisah ‘Singkap Dari Tingkap’, konsep jendela telah diangkat sebagai nadi kepada penceritaan kali ini bagi meneruskan kesinambungan tema ‘Buka Lembaran Baharu’.

Menggunakan jendela sebagai simbolik, penceritaan kali ini membawa mesej tentang kisah yang tersembunyi di sebalik tingkap berbeza dengan pandangan luar yang dilihat secara zahir.

Elemen suspens yang dilatari dengan rumah kampung lama sebagai props turut disuntik bagi memberi kelainan berbanding iklan-iklan raya yang pernah diterbitkan sebelum ini. Plot twist kisah ini juga sarat dengan mainan emosi serta penuh dengan iktibar.

Selain itu sebagai tanda penghargaan, pelbagai tawaran menarik menanti para pelanggan sepanjang musim perayaan ini menerusi program kesetiaan pelanggan ‘Astro Rewards’ serta promosi eksklusif di Go Shop.

“Selain itu, kami juga tidak lupa membawa amanat yang sama menerusi kolaborasi aktiviti CSR yang telah pun direncanakan menerusi program ‘Astro Bersama McDelivery Berbakti’,” katanya.

Program ‘Astro Bersama McDelivery Berbakti’ merupakan kolaborasi istimewa bersempena bulan Ramadan di antara Astro selaku rakan media dan McDonald’s Malaysia selaku penaja yang bertujuan untuk memupuk rasa bersyukur serta mempergiatkan lagi amalan bersedekah.

Program ini turut disokong oleh selebriti-selebriti tempatan termasuklah barisan duta ‘Skuad Lembaran Baharu’ dalam menguar-uarkan mesej kesyukuran serta kepentingan dalam membantu mereka yang memerlukan.

Kandungan televisyen menarik Syawal ini

Hiburan tanpa henti pada malam raya turut menghidangkan program menarik seperti filem ‘Syif Malam Raya’ di Astro Ria, ‘Sepahtu Reunion Al Raya’, ‘Punchline DAC Malam Raya’ dan ‘Perang Prank’ menerusi Astro Warna serta banyak lagi.

Pada tahun ini, program istimewa ‘MegaRaya Ria’ yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik untuk dimenangi bakal disiarkan menerusi lima buah episod khas secara langsung dan lima buah episod rakaman secara berturut-turut bermula malam raya yang dijangka jatuh pada 12 Mei.

Program eksklusif ini juga bakal dihoskan oleh Dato’ AC Mizal, Sherry AlHadad serta personaliti ERA iaitu Danial Zaini dan Radin Amir.

Istimewa buat para peminat program ‘signature’ yang berkonsepkan pertandingan realiti, buat julung kalinya program ‘All Together Now Malaysia’ yang menampilkan Sherry Al Hadad sebagai hos bakal diperkenalkan di saluran Astro Ria mulai 6 Jun.

Uniknya, program yang diketuai oleh Dato’ AC Mizal selaku Kapten ini turut menampilkan barisan 50 selebriti popular tanah air sebagai juri tetap.

Manakala pertandingan nyanyian ‘Popstar 2021’ terbitan Astro Ceria turut kembali dengan musim terbaharu mulai 26 Mei ini.

Para penonton juga akan disajikan dengan pelbagai program hiburan berunsur komedi sepanjang musim perayaan ini menerusi saluran Astro Warna HD seperti ‘Sepahtu Reunion Raya Muzikal’, ‘Kampung Lawak Superstar’, sitkom ‘Annyeonghaseyo Cikgu Maryam’, ‘Betul Ke Bohong Kuasa Dua’, yang menampilkan Sherry Al Hadad sebagai hos serta Michael Ang dan Azwan Ali sebagai Kapten, ‘Gelak Gempak Selebriti’, yang mencabar selebriti tanahair membuat ‘standup’ komedi, ‘Raja Goreng Sampai Hangit’ membariskan Dato’ Awie & Ropie sebagai Mastermind & Hos, ‘Perang Prank’ dan banyak lagi. Selain itu, musim terbaharu ‘Sepahtu Reunion LIVE 2021’ serta ‘Rumah 107 Musim 2’ juga bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Koleksi filem-filem terlaris tempatan dan luar negara daripada yang terkini hingga ke retro turut menemani penonton di kesemua rangkaian saluran Astro sepanjang Aidilfitri ini.

Selain dari filem-filem tempatan, Astro Citra turut menyajikan penonton dengan seleksi filem Bollywood dari pelakon ternama Salman Khan dan Aamir Khan seperti ‘Karan Arjun’, ‘Dil’, ‘Mann’, ‘Hum Saath Saath Hain’, ‘Wanted’ dan ‘Hello Brother’ serta banyak lagi.

Peminat drama bersiri Melayu pula akan terus dihiburkan dengan barisan drama berkualiti tinggi seperti ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ yang bakal tiba ke penghujungnya menerusi episod dua minggu terakhir di slot Megadrama. Sebuah lagi drama adaptasi novel terbaharu lakonan Zul Ariffin dan Uyaina Arshad berjudul ‘Love, Elsa’ bakal menghiasi slot tersebut. Selain itu, drama ‘Mis Tres Hermanas’ versi Malaysia iaitu ‘Hati Yang Dikhianati’ menerusi slot Tiara juga akan diteruskan sepanjang musim lebaran.

Tidak terhenti di situ, pelbagai program berbentuk ‘variety’, hiburan, muzikal dan ‘spin-off’ program realiti terbitan Astro bakal disajikan sepanjang Syawal termasuklah program istimewa ‘Gegar Vaganza Raya’, ‘Konsert Dominasi BBNU Raya’, ‘MeleTop Raya’, ‘Muzikal Lawak Superstar Raya’, ‘The Masked Singer Malaysia Reunion’, ‘Pung Pang Rizalman Edisi Raya’, ‘Konsert Retro Aidilfitri’, ‘Raya Bersama’, ‘Kak Kek & Abe Mmasok’, ‘Jejak Ebit Lew Raya’ dan sebagainya.

Pelbagai telefilem eksklusif menampilkan nama-nama popular tanah air seperti Zizan Razak, Kamal Adli, Uqasha Senrose, Han Byul, Hun Haqeem, Cik Bee, Chubb-E dan ramai lagi turut disajikan antaranya ‘Puaka hari Raya’, ‘Perfect Raya’, ‘Perkahwinan Dari...’, ‘Jay-Jie X Cik B-Yonchey’, ‘Rumah Horey Horey’, ‘Dolla’, ‘Tanah Kubur Peneman’ dan ‘Pemuja Kubur’.

Istimewa untuk peminat sukan bola sepak, Astro Arena bakal menyajikan dua buah program edisi khas raya untuk tontonan semua. Program ‘Berbulu Dengan Burn Berhari Raya’ yang dihoskan oleh Burn akan ditayangkan pada hari raya pertama 13 Mei, jam 9.00 malam.

Manakala program ‘Hari Raya Borak Borak Botak’ yang dihoskan oleh Nafis atau lebih dikenali sebagai Abang Botak pula akan disiarkan pada hari raya kedua 14 Mei, jam 9.00 malam.

Untuk maklumat lanjut, anda bolehlah melayari www.astroraya.com.my.

Advertisement