Anda di sini

Warga emas Tatau teruja terima vaksin

Advertisement
 Rohana memberi penerangan kepada warga emas yang menunggu giliran untuk mendaftar dan mendapatkan pengesahan sebelum menerima suntikan vaksin.
PENERANGAN: Rohana memberi penerangan kepada warga emas yang menunggu giliran untuk mendaftar dan mendapatkan pengesahan sebelum menerima suntikan vaksin.
 Talip menerima suntikan vaksin yang dikendalikan oleh Ketua Jururawat Klinik Kesihatan Tatau, Unda Kak.
LINDUNGI: Talip menerima suntikan vaksin yang dikendalikan oleh Ketua Jururawat Klinik Kesihatan Tatau, Unda Kak.
 Mohamad Salihin (kanan) dan adiknya Norbaniah (kiri) menemani ibu bapa mereka, Talip dan Mardinah yang menerima suntikan vaksin.
PENGUAT SEMANGAT: Mohamad Salihin (kanan) dan adiknya Norbaniah (kiri) menemani ibu bapa mereka, Talip dan Mardinah yang menerima suntikan vaksin.

BINTULU:

TATAU: Rata-rata warga emas teruja menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini, kelmarin.

Ditemani anak masing-masing, program yang berlangsung di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sukan Tatau itu menggunakan vaksin jenis Sinovac melibatkan 270 penerima suntikan dos pertama bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Antara warga emas yang menerima suntikan kelmarin ialah pasangan Talip Tatau, 84, dan Mardinah Abdullah, 74, yang ditemani dua anak mereka, Mohammad Salihin dan Norbaniah.

Mohamad Salihin berkata, mengambil kira faktor usia ayahnya untuk menerima suntikan, beliau pada mulanya tidak begitu yakin namun akhirnya akur.

“Melihat ramai warga emas mendapat suntikan vaksin tanpa ada kesan sampingan teruk, maka saya akhirnya membenarkan kedua ibu bapa saya mendapat suntikan vaksin yang sama, sekali gus mereka bersetuju mendaftarkan diri,” ujarnya semasa ditemui.

Menurutnya, selepas ibu bapanya menerima vaksin, beliau berasa lega apabila melihat kedua-duanya tidak mengalami kesan sampingan.

“Vaksin ini amat penting kepada warga emas terutama jika mereka berhasrat ke luar negara untuk melaksanakan ibadah umrah di Mekah.

“Saya juga bersyukur kerana proses ibu bapa saya mendapat suntikan vaksin berjalan lancar dan berterima kasih kepada petugas serta sukarelawan yang menjalankan tugas mereka dengan baik,” katanya sambil menambah, ibu bapanya akan menerima suntikan dos kedua pada 28 Mei ini.

Sementara itu, Ketua Wanita Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kakus Rohana Abdullah yang bertindak sebagai sukarelawan MyVAC (Malaysia Vaccine Support Volunteers) berasa bangga kerana dapat membantu kerajaan bersama petugas barisan hadapan lain dalam kerja-kerja pengurusan penerima suntikan vaksin.

“Meskipun kita bukan dari kalangan petugas barisan hadapan, tetapi kita bertuah kerana berpeluang membantu dan menyumbang tenaga di PPV Dewan Sukan Tatau ini,” katanya.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan sukarelawan turut menyumbang tenaga dalam situasi lain termasuk kes-kes kebakaran, banjir dan sebagainya.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara dan negeri ini dilanda pandemik COVID-19, saya bersama rakan-rakan lain terlibat dalam membantu mengagihkan makanan kepada penduduk terjejas,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement