Anda di sini

Tiga individu di Bintulu kena kompaun kerana keluar rumah lepas 8 malam

Advertisement
Polis mengeluarkan kompaun kepada seorang individu ingkar PKPB SOP Diperketatkan kerana keluar rumah tanpa alasan munasabah selepas jam 8 malam.
Polis mengeluarkan kompaun kepada seorang individu ingkar PKPB SOP Diperketatkan kerana keluar rumah tanpa alasan munasabah selepas jam 8 malam.

BINTULU: Tiga individu masing-masing dikenakan kompaun RM1,500 kerana keluar rumah tanpa alasan munasabah selepas jam 8 malam di lokasi berbeza sekitar Sungai Plan Tanjung Kidurong pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, mereka didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Prosedur Operasi Standard (SOP) Diperketatkan ketika rondaan diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti ASP Johny James Bujang dibuat sekitar 9 malam.

"Semasa pemantauan itu didapati tiga lelaki telah melakukan kesalahan keluar rumah tanpa alasan munasabah selepas jam 8 malam di tempat yang berbeza di sekitar kawasan terbabit (Sungai Plan)," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua individu terbabit dikompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) PKPB (No.4) 2021 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) antara jam 9.30 malam hingga 10.30 malam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu telah menguatkuasakan PKPB SOP Diperketatkan di Bintulu bermula 27 April hingga 17 Mei selaras dengan langkah diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak untuk seluruh bahagian di negeri ini.

Antara perkara penting dalam SOP ini untuk Bintulu adalah mewajibkan ujian saringan COVID-19 (RT-PCR) sebelum pergerakan masuk dan keluar Bintulu ke zon lain, dan larangan berada di tempat awam selepas jam 8 malam.

Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat selaku Pengerusi JPBB Bintulu dalam sidang media baru-baru ini menegaskan mana-mana individu tidak dibenarkan berada di tempat awam selepas jam 8 malam tanpa sebab atau alasan yang munasabah.

"Ia wajib dipatuhi. Sekiranya ingkar, tindakan undang-undang boleh diambil, namun perkhidmatan penting dibenarkan bergerak macam biasa tetapi perlu ada surat dari majikan bagi pengesahan kerja untuk tugas syif dan sebagainya," ujarnya.


Pegawai dan anggota polis mengeluarkan kompaun kepada seorang individu ingkar PKPB SOP Diperketatkan kerana keluar rumah tanpa alasan munasabah selepas jam 8 malam.

  • oleh
  • Advertisement