Anda di sini

SBA rayu diberikan tempoh masa untuk patuhi peraturan kuarter pekerja

Advertisement
HENRY
HENRY

KOTA KINABALU: Persatuan Pembina Sabah (SBA) merayu kepada Kerajaan Pusat khususnya Kementerian Sumber Manusia untuk memberikan tempoh kepada pemaju pembina di negeri ini bagi memulihkan aliran kewangan dalam usaha mematuhi peraturan bagi menambah baik tempat penginapan pekerja.

Presiden SBA Henry Tsen berkata, pertubuhan itu menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai penguatkuasaan piawaian peraturan penginapan pekerja asing diberikan kelonggaran sehingga akhir tahun ini.

Namun katanya, keadaan tempat penginapan pekerja ditapak pembinaan di Sabah berbeza dengan Semenanjung Malaysia.

"SBA ingin merayu kepada kerajaan agar beri tempoh kepada kami selama setahun iaitu sehingga hujung tahun 2022 untuk membolehkan kontraktor kita mempunyai lebih banyak masa untuk memulihkan kedudukan kewangan mereka yang terjejas akibat tempoh PKP sepanjang pandemik COVID-19.

"Tempoh mencabar ini telah menyebabkan mereka lewat dalam menyiapkan projek dan menanggung perbelanjaan yang besar bagi satu tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh yang dicadangkan itu, ia akan membolehkan pemaju berkaitan mencari tapak sesuai bagi membina kuarter penginapan pekerja.

Katanya, terdapat tapak projek dilarang atau tidak mempunyai ruang sesuai untuk pembinaan kuarter pekerja.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan kos bahan binaan khususnya produk keluli kini meningkat sehingga 50 peratus pada Mei tahun ini berbanding tempoh masa yang sama tahun lalu.

"Kenaikan bermula pada suku akhir tahun lalu dengan bermulanya semula aktiviti perniagaan yang berikutan pandemik COVID109 selama sembilan bulan pertama 2020.

"Contohnya harga bar keluli T10mm yang biasanya digunakan dalam pembinaan telah meningkat sebanyak 40 peratus kepada sekitar RM3,470 pada awal bulan ini daripada RM2,485 per tan pada bulan Oktober 2020.

"Pembekal juga menjelaskan harga untuk bahan itu masih meningkat berikutan jangkaan permintaan yang lebih tinggi," katanya.

"Sebagai perbandingan, untuk rumah teres dua tingkat, kos purata keluli merangkumi kira-kira 10 peratus daripada jumlah kos pembinaan yang bermaksud keseluruhan kos pembinaan akan meningkat hingga 5 peratus, oleh itu (hal ini) mengurangkan keuntungan kontraktor sebanyak 5 peratus untuk kebanyakan kontrak bangunan.  

"Bagi projek yang sedang berjalan, kontraktor tidak mempunyai pilihan selain menyerap kenaikan kos. Bagaimanapun, bagi kontraktor bersaiz kecil dan sederhana yang tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh, mereka akhirnya gulung tikar," katanya.

Dalam pada itu, Henry memuji pengumuman CIDB mengenai cadangan klausa 'Variation of Price (VOP)' disertakan untuk semua projek kerajaan untuk mengurangkan beban kontraktor yang dipengaruhi oleh inflasi bahan binaan semasa.  

"Sebelumnya semua kontrak kerajaan mempunyai peruntukan untuk VOP tetapi dihapuskan secara tiba-tiba pada 1 April 2015. 

"Kami tidak melihat justifikasi untuk menghilangkan klausa VOP kerana tidak ada ruang untuk penyalahgunaan kerana syarat tersebut dilakukan secara khusus dengan formula kenaikan atau penurunan berdasarkan harga bulanan Statistik yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan. 

"Dengan adanya klausa VOP, ia adalah situasi menang-menang bagi kerajaan dan kontraktor, kerana harga tender akan lebih rendah, kontraktor tidak perlu meletakkan harga yang lebih tinggi untuk mengimbangi kemungkinan kenaikan harga dan ditambah dengan klausa membenarkan pengurangan harga bahan sekiranya harga turun akan menyumbang kepada penjimatan besar bagi kerajaan," katanya.

Sementara itu, Henry turut menjelaskan Jawatankuasa baharu SBA berhasrat untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dipejabatnya.

Katanya, tujuan kunjungan hormat adalah bagi mengemukakan satu memorandum yang menjelaskan kesukaran dihadapi pemaju dalam industri pembinaan di Sabah, selain inginkan lebih banyak projek kerajaan diumumkan demi merangsang ekonomi tempatan.

Beliau juga berhasrat untuk memohon sebidang tanah daripada kerajaan negeri bagi menubuhkan Akademi Kontraktor. Dengan kerjasama SBA, ianya akan memudahkan latihan kemahiran serta sebagainya.

"Akademi ini akan melengkapkan CIDB ABM Construction Academy sedia ada tetapi mempunyai kapasiti terhad dan pekerja mahir  yang dihasilkan masih belum mencukupi.

"Selama ini, pekerja tempatan yang terlatih dan berkemahiran tidak ramai, oleh itu potensi pekerja tempatan dihadkan dan diganti dengan pekerja asing.

"Sekiranya kita mempunyai pekerja mahir tempatan, keadaan ini sudah pasti akan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing di masa hadapan," katanya.
 

Advertisement