Anda di sini

Rezeki 'Si Pengayuh Basikal', apabila hujan dan panas menjadi teman

Advertisement
 Antara penghantar makanan 'walker' Foodpanda di Kota Kinabalu.
FOODPANDA: Antara penghantar makanan 'walker' Foodpanda di Kota Kinabalu.

Rutin meredah hujan lebat dan cuaca panas terik sudah menjadi kebiasaan hidup mereka. Demi mencari rezeki untuk diri dan keluarga, apa sahaja dugaan dan cabaran mereka sanggup harungi.

Dikejar dan digigit anjing, jatuh basikal, tayar motosikal pancit dan banyak lagi situasi mencemaskan mereka pernah harungi. Namun, istilah patah semangat tidak pernah muncul dalam diari hidup mereka.

Menjadi seorang penghantar makanan dilihat dari luaran seperti tugasan biasa insan lain, ada susah dan senangnya. Tetapi hanya mereka yang menjalani tugasan sebenar mengetahui pahit dan manis pengalaman yang terpaksa dihadapi setiap hari.

Pada bulan Ramadan, kecekalan hati yang kuat amat diperlukan dalam menjalankan tugas sebagai penghantar makanan. 

Siapa tahu di sebalik kayuhan basikal mereka, ada hati yang berkocak kuat menahan dahaga di bawah panas terik matahari.

Siapa jangka di sebalik kelajuan motosikal mereka, ada tubuh yang menggigil menahan kesejukan tatkala mencari lokasi rumah pelanggan sewaktu hujan lebat pada malam hari.

Utusan Borneo berkesempatan menemu ramah penghantar makanan berbasikal Foodpanda baru-baru ini untuk berkongsi kisah dan pengalaman mereka.

 JOHN, JOHANSAH dan ALI.
Dari kiri: JOHN, JOHANSAH dan ALI.

Johansah Nixion, 25, salah seorang penghantar makanan berbasikal syarikat Foodpanda di Kota Kinabalu turut sama merasai pengalaman sedemikian, walaupun baharu lebih sebulan menjalankan tugas sebagai penghantar makanan.

Wajahnya nampak ceria, namun siapa tahu isi hati anak tunggal yang berasal dari Tawau ini sepanjang menjalankan tugas di bulan puasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada waktu ini.

Katanya, tahun ini memasuki tahun ketiga dirinya tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta lebih-lebih lagi larangan rentas daerah mula dikuatkuasakan di seluruh negara.

"Sebelum ini saya memang selalu balik kampung menyambut Hari Raya bersama keluarga semenjak saya bekerja di Kota Kinabalu pada 2014.

"Namun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya tidak lagi dapat balik kampung. Selepas tiga tahun, saya semakin biasa dengan keadaan ini.

"Hanya panggilan video dan telefon sahaja menjadi penghubung dengan ahli keluarga yang jauh di Tawau," katanya yang tetap membuat persiapan Hari Raya bersama teman-teman yang lain.

Ditanya apakah cabaran paling sukar sepanjang menjadi penghantar makanan berbasikal, Johansah akui, laluan berbukit ke lokasi pelanggan antara yang paling mencabar.

Justeru, beliau sering mengutamakan kecergasan badan agar tempahan pelanggan dapat dihantar tepat pada masanya.

Sementara itu, seorang lagi penghantar makanan berbasikal Foodpanda, Ali Amat, 19, berkata, ketiadaan basikal bukan halangan untuk dirinya menceburi kerjaya dalam bidang penghantaran makanan.

"Saya terpaksa meminjam basikal kawan yang rosak dan membaikinya untuk memulakan kerja ini. 

"Pada awalnya saya agak kurang bersemangat apabila hanya mendapat tempahan yang sedikit daripada pelanggan, lebih-lebih lagi saya hanya bermula tiga minggu lepas di pertengahan bulan puasa.

"Tetapi bila memikirkan hasrat untuk bantu keluarga, saya kuatkan semangat dan terus yakin usaha gigih pastinya membawa hasil yang setimpal," katanya yang berasal dari Kota Kinabalu ini.

Ali berkata, keluarganya merancang untuk membeli kereta tahun ini. Bagaimanapun, bajet yang dikumpul masih belum mencukupi. Justeru, beliau nekad untuk menjadi penghantar makanan agar hasrat keluarga dapat tercapai.

Anak keenam daripada sembilan adik-beradik ini juga sentiasa mendapat dorongan ahli keluarga supaya sentiasa rajin berusaha dan berhati-hati sepanjang menjalankan tugas menghantar makanan.

Pengurus Foodpanda Kota Kinabalu merangkap 'Rider Captain' (RC) John Jinau berkata, setakat ini penghantar makanan Foodpanda yang berbasikal dan pejalan kaki sekitar 207 orang dan hanya kawasan Kota Kinabalu yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Menurutnya, operasi Foodpanda di Sabah bermula sejak 2018 dengan lima orang penghantar makanan sahaja dan kini Foodpanda memiliki lebih 2,000 penghantar makanan di seluruh Sabah.

"Paling ramai penghantar makanan di kawasan Kota Kinabalu dengan jumlah mereka lebih 1,000 orang termasuk kawasan Sepanggar, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Putatan.

"Selain itu, penghantar makanan Foodpanda di daerah Sandakan dan Keningau juga ramai dan daerah-daerah lain semakin mula meningkat jumlahnya," katanya yang juga antara penghantar makanan terawal Foodpanda di Sabah.

John berkata, penghantar makanan berbasikal dan pejalan kaki yang juga dipanggil sebagai 'walker' mula dibuka awal tahun lepas.

Langkah itu jelasnya, bagi membuka peluang kepada golongan yang tidak mempunyai lesen motosikal untuk menceburi kerjaya berkenaan. 

Beliau berkata, sepanjang PKP dilaksanakan, tiada halangan untuk pekerja Foodpanda menjalankan tugas. Namun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa diutamakan.

Dalam pada itu katanya, terdapat vendor yang dibenarkan beroperasi selama 24 jam, justeru penghantar makanan Foodpanda masih boleh bekerja sehingga lewat malam.
 

  • oleh
  • Advertisement