Anda di sini

Kluster baharu dilaporkan melibatkan pekebun

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Satu kluster baharu COVID-19 dilaporkan pada 8 Mei 2021 melibatkan seorang pekebun di Semporna.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Keramat Semporna berlaku di Mukim Tampi-Tampi.

"Kes indeks merupakan pekebun, lelaki, 73, yang dilaporkan pengsan di kebun berhampiran rumahnya kemudian dibawa ke Hospital Semporna dan didapati positif RTK Antigen 100 peratus. 

"Susulan kes itu, daripada 11 isi rumah yang disaring, tujuh disahkan positif iaitu isteri, anak, menantu serta cucu,"katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, tiga daripada yang positif itu adalah guru sekolah rendah. Saringan kontak rapat seterusnya dilakukan di klinik kesihatan melibatkan guru-guru Sekolah Kebangsaan Hampalan dan SK Bubul serta saringan lapangan bagi guru-guru dan murid- murid pendidikan khas di SK Tampi-Tampi pada 7 Mei 2021. 

Katanya, hasil saringan, seorang lagi guru SK Tampi-Tampi disahkan positif RTK Antigen 88 peratus, menjadikan jumlah terkumpul bagi kluster baharu ini sebanyak sembilan kes. 

"Aktiviti pengesanan kontak rapat serta mengenal pasti punca jangkitan sedang giat dijalankan," katanya.

Dalam pada itu katanya, jumlah kes baharu COVID-19 yang dicatatkan pada 8 Mei 2021 adalah sebanyak 63 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,796 kes. Satu kes kematian direkodkan iaitu di daerah Sandakan.

Katanya, Kerajaan juga telah menamatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dambai Inanam, pada 9 Mei 2021.

Sementara itu katanya, seramai 98 pesakit COVID-19 telah sembuh pada 8 Mei 2021 menjadikan jumlah kumulatif 57,597 orang.

"Seramai 574 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 237 orang di hospital dan 337 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. 

"Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi pula ialah 28 orang dan 20 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Selain itu, Masidi turut menyeru kepada rakyat negeri ini agar tampil ke hadapan untuk menderma darah kepada tabung darah Sabah.

Katanya, dianggarkan pada tahun ini, stok darah di Sabah akan merosot sebanyak 20 peratus
berikutan pembatalan lebih daripada 200 kempen derma darah yang melibatkan sasaran awal 6,000 pendermaaan.

"Penyusutan tersebut perlu diatasi dengan kadar segera agar stok bekalan darah untuk pesakit tidak mencecah paras kritikal yang boleh menjejaskan perawatan pesakit," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement