Anda di sini

Hot FM & 17 Eleven Music hasilkan lagu raya bersama

Advertisement
 

BUAT julung kalinya, stesen radio popular tanah air, Hot FM bekerjasama dengan syarikat rakaman 17 Eleven Music menghasilkan dua lagu raya iaitu ‘Salam Dari Jauh’ dan ‘Indahnya Syawal’ yang dilancarkan secara rasmi sejak 30 April lalu.

Menariknya, menerusi projek ini menyaksikan barisan penyanyi terkenal merakamkan lagu dan menyanyi bersama barisan penyampai radio Hot FM.

Penyanyi terdiri terdiri daripada Shila Amzah, Siti Nordiana, Ezwan Ariff, Adzrin, Achey, Zulin Aziz, Amylea Azizan dan Achey.

Sementara penyampai pula adalah Mark Adam, Fizie, Riena Diana, Haziq, Deen, Fad dan Zetty.

Lagu ‘Salam Dari Jauh’ dan ‘Indahnya Syawal’ adalah ciptaan sepenuhnya Rudy Nastia, Shamin Nazri, Hafiz Karim dan Mubin Ismail.

Ketua Audiens Melayu Hot FM, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, projek ini sesuatu yang istimewa sekali gus dapat memeriahkan lagi sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini.

“Ini adalah projek khas bersama syarikat 17 Eleven Music untuk kami memeriahkan lagi raya tahun ini walaupun dalam keadaan pandemik. Kami nak bersama pendengar meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan lagu raya istimewa, ‘Salam Dari Jauh’ dan ‘Indahnya Syawal’ walaupun mungkin tak dapat beraya bersama kaum kelurga.

“Kami mendapat kerjasama yang baik daripada barisan artis yang terbabit serta semua penyampai Hot FM. Terima kasih juga kepada Rudy Nastia selaku Komposer juga penulis lirik untuk projek istimewa ini,” katanya.

Menurut Azura, projek lagu raya itu mengembalikan semua kenangan Hot FM yang pernah menghasilkan lagu raya bersama beberapa artis terkenal lain pada 2012.

“Sebelum ini Hot FM pernah bekerjasama menghasilkan lagu raya. Ketika itu zaman penyampai Faizal Ismail, Fara Fauzana, AG dan ramai lagi. Kiranya, untuk tahun 2021 ini kami mengembalikan semula nostalgia itu dengan berkolaborasi pula dengan 17 Eleven Music.

“Apa yang penting, projek sebegini sedikit sebanyak mengeratkan lagi silaturahim kedua pihak sekali gus dapat memeriahkan industri hiburan tempatan dengan penerbitan lagu raya. Walaupun setahun sekali, tapi ia keceriaannya akan kekal diingati,” katanya.

Sementara itu, Pengarah syarikat rakaman 17 Eleven Music, Roslan Adlie berkata, kerjasama dengan Hot FM memberikan satu lagi pengalaman berharga buat mereka.

Malah, Roslan berharap kedua lagu raya itu menjadi ‘evergreen’ seperti kebanyakan lagu raya lain.

“Paling penting, apa yang diharapkan juga adalah kedua-dua lagu ini dapat diterima baik peminat dan pendengar sekali gus menjadi lagu malar segar sampai bila-bila. Terima kasih kepada penyanyi dan penyampai yang terbabit,” katanya.

Saksikan video muzik lagu ‘Salam Dari Jauh’ dan ‘Indahnya Syawal’ di Instagram TV (IGTV), Facebook Hot FM dan saluran YouTube 17 Eleven.

Lagu ini juga boleh didengar di frekuensi Hot FM juga platform muzik yang lain.

Advertisement