Anda di sini

Hikmah di sebalik pandemik, peluang bersama ibu disyukuri

Advertisement
 Arn dan ibunya, Jaliha ketika berada di Stadium Tertutup Miri bagi menjalani ujian saringan COVID-19 pada Rabu lalu.
RATU HATI: Arn dan ibunya, Jaliha ketika berada di Stadium Tertutup Miri bagi menjalani ujian saringan COVID-19 pada Rabu lalu.

MIRI: Walaupun segelintir yang merintih tidak dapat berjumpa ibu bapa dan ahli keluarga masing-masing akibat sekatan perjalanan berikutan pandemik COVID-19, namun bagi Arn Hanafi Abu Bakar, 48, beliau melihatnya sebagai satu hikmah kerana diberi peluang meluangkan masa bersama ibunya.

Beliau sepatutnya bekerja di Selangor, namun sejak pandemik melanda, Arn terpaksa bekerja dari rumah.

Anak sulung dari enam beradik itu mula bekerja dari rumah di Miri sejak Februari dan peluang itu digunakan sebaik mungkin untuk meluangkan lebih masa bersama dengan ibunya.

“Sejak boleh bekerja dari rumah, saya membuat keputusan untuk bekerja dari rumah di Miri selepas pulang ke Miri pada bulan Februari bagi menghadiri majlis perkahwinan adik saya dan memutus untuk bekerja dari rumah di sini buat sementara waktu.

“Saya boleh balik ke Kuala Lumpur dan bekerja dari rumah di sana seperti biasa, tetapi untuk balik ke Sarawak buat masa ini tidak mudah kerana memerlukan banyak prosedur,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Pada 5 Mei, Arn dan ibunya Jaliha Buang, 70, telah diminta bagi menjalani ujian saringan COVID-19 setelah kluster baharu dikesan dari sebuah masjid yang sering beliau hadiri.

“Ibu saya disenaraikan sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera saya dan dia turut diarahkan bagi mengikuti ujian saringan terbabit.

“Calitan telah dibuat dan sekarang masih menunggu keputusan. Buat masa ini kami menjalani tempoh kuarantin di rumah,” katanya sambil menambah hasil keputusan akan menentukan di mana mereka akan ‘meraikan’ sambutan Hari Ibu.

Jelas Arn, di antara mereka enam beradik, beliaulah yang paling jarang di Miri kerana komitmen terhadap kerja.

Katanya, beliau pernah menghabiskan dua tahun bekerja di Kuwait pada tahun 2017 hingga 2018 dan pada masa itu hanya pulang sekali sekala untuk tempoh singkat dan menjadikan beliau merindui ibu serta adik beradiknya.

“Untuk beberapa tahun sebelum ini, saya hanya mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ menerusi panggilan video sahaja. Tetapi berbeza dengan tahun ini, saya dapat meluangkan masa bersama ibu saya dan mengucapkan ucapan tersebut secara bersemuka.

“Walaupun dalam tempoh kuarantin, saya menganggap ini satu hikmah juga kerana dekat dengan ibu. Oleh itu, saya melihatnya dari segi positif dan dalam masa sama menghabiskan Ramadan dan Hari Raya bersama,” ujarnya.

Menurut Arn, sebelum pandemik beliau akan pulang ke Miri sehari atau dua hari sebelum sambutan raya dan hampir tidak menghabiskan bulan Ramadan bersama.

“Jika bukan disebabkan pandemik, rasanya saya masih di Kuala Lumpur sekarang dan hanya akan pulang menjelang Hari Raya, itupun kalau keadaan kerja mengizinkan,” katanya.

Untuk sambutan Hari Ibu, Arn merancang untuk memberikan hadiah kepada ibunya yang akan mengingatkannya bahawa beliau selalu ada untuk ibunya.

“Berbanding adik beradik yang lain, sayalah yang jarang sekali berada di rumah. Oleh itu, untuk sambutan Hari Ibu kali ini, saya mahu memberikan sesuatu yang istimewa yang mewakili saya, supaya ia akan menjadi ingatan kepada ibu walaupun di mana saya berada kelak.

“Ibu kita tiada galang gantinya, beliaulah ratu di hati kita dan orang terpenting yang melihat serta mendokan kerjayaan kita.

“Biarpun sedih kerana terpaksa menjalani serta melalui tempoh kuarantin, namun saya bersyukur kerana melaluinya bersama ibu tercinta,” tambahnya.

Advertisement