Anda di sini

1,500 golongan asnaf DUN Lamag terima duit raya

Advertisement
 Abu Bakar (dua kanan) menyampaikan sumbangan Bung kepada salah satu wakil Masjid Al Jihad Pekan Bukit Garam sambil diperhatikan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Lamag Rozamsah Ismail (kiri) dan Penyelia UPPM Lamag Shopian Nasir (kanan)
PRIHATIN: Abu Bakar (dua kanan) menyampaikan sumbangan Bung kepada salah satu wakil Masjid Al Jihad Pekan Bukit Garam sambil diperhatikan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Lamag Rozamsah Ismail (kiri) dan Penyelia UPPM Lamag Shopian Nasir (kanan)
 

KINABATANGAN: Seramai 1500 asnaf fakir miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menerima sumbangan duit raya dari Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Dato’ Sri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag telah diwakili oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gapar bagi menyerahkan sumbangan berkenaan dalam Program Jelajah Ramadhan Parlimen P.187 Kinabatangan bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Lamag.

Selaku Ahli Parlimen Kinabatangan juga, Bung Moktar turut menyumbang kewangan kepada masjid dan surau dalam Parlimen Kinabatangan melibatkan tiga kawasan DUN iaitu Lamag, Kuamut dan Sukau.

Abu Bakar ketika ditemui berkata sumbangan duit raya berkenaan adalah bertujuan meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Dato’ Sri Bung Moktar selaku wakil rakyat di kawasan ini amat mengharapkan sumbangan itu dapat meringankan beban para penerima,” katanya.

Beliau berkata pengagihan duit raya itu dijalankan rumah ke rumah di 24 buah kampung dengan dibantu oleh Jawatankuasa Pembangunan dan keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) di setiap kampung.

Abu Bakar berkata sumbangan kewangan kepada masjid dan surau dalam DUN Lamag telah disampaikan olehnya bersama UPPM.

“Keprihatinan Dato’ Sri Bung Moktar amat dihargai oleh para penduduk kampung yang menerima sumbangan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk kampung yang menerima duit raya mengucapkan terima kasih kepada Bung Moktar atas keprihatinannya membela nasib golongan yang memerlukan.

Penerima sumbangan itu turut merasa bersyukur kerana sumbangan itu tepat pada masanya ketika mereka dalam persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
 

  • oleh
  • Advertisement