Anda di sini

Sarawak United FC rampas takhta Liga Premier

Advertisement
Mat Yo cuba melepasi pemain Kelantan United FC. - Gambar ihsan Sarawak United.
Mat Yo cuba melepasi pemain Kelantan United FC. - Gambar ihsan Sarawak United.

KUALA LUMPUR: Sarawak United FC merampas takhta Liga Premier daripada Negeri Sembilan FC selepas merakam kemenangan 3-2 ke atas Kelantan United FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam Jumaat.

Pemain tengah, Christie Jayaseelan membuka tirai jaringan pada masa kecederaan babak pertama sebelum Kelantan United FC menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan, Stuart James Wilson Wark pada minit ke-58.

Giliran tuan rumah pula berada di depan muncul melalui jaringan pemain import, Alfusainey Gassama pada minit ke-68 namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Sarawak United FC bingkas menjaringkan gol penyamaan menerusi penyerang Norshahrul Idlan Talaha tiga minit kemudian.

Penyerang gantian, Abdul Rahim Abdul Razak muncul wira pelawat apabila menyambut masuk gol kemenangan Sarawak United FC pada minit ke-80 untuk membantu pasukannya mara ke persada liga dengan 23 mata manakala Kelantan United FC pula kekal di tangga keempat dengan kutipan 16 mata.

Aksi di selatan tanah air di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin menyaksikan Negeri Sembilan FC gagal memanfaatkan peluang untuk terus berada di puncak liga selepas diikat tanpa jaringan oleh tuan rumah, Johor Darul Ta’zim II.

Keputusan itu menyaksikan Negeri Sembilan FC turun ke tangga kedua liga dengan 22 mata manakala JDT II yang terus kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan pula memintas Kelantan United FC untuk berada di tangga keempat dengan 16 mata melalui perbezaan jaringan.

Sementara itu, malang terus menimpa skuad Projek FAM-MSN apabila dibelasah Terengganu FC II 6-1 di Stadium UiTM Shah Alam.

Pesta gol Terengganu FC II bermula pada minit ketiga menerusi jaringan penyerang Muhammad Muslimuddin ‘Atiq Mat Zaid sebelum penyerang import, Jordan Mintah mencuri tumpuan apabila mencetak empat jaringan pada minit ke-7, 16, 48 dan 53.

Pemain gentian, Muhammad Isa Raman melengkapkan kemenangan bergaya skuad bimbingan Badrul Afzan Razali itu pada minit ke-89 manakala gol saguhati tuan rumah pula dijaringkan pada minit ke-51 oleh Muhaimin Izuddin Muhammad Asri.

Kekalahan kesembilan liga dicatat pasukan kendalian Yusri Che Lah itu menyaksikan mereka kekal terperosok di tangga terbawah liga dengan hanya dua mata manakala Terengganu FC II di tangga ketiga dengan 19 mata. - BERNAMA
 

Advertisement