Anda di sini

Peniaga air tebu raih keuntungan di bulan Ramadan

Advertisement
 Air tebu dihasilkan Awang laris dipasaran
LARIS : Air tebu dihasilkan Awang laris dipasaran

TAWAU : Disaat ramai penjaja makanan mengeluh di bulan Ramadan akibat pendapatan terjejas kerana ketiadaan bazar dibuka tahun ini, namun lain ceritanya seorang pemuda mampu meraih keuntungan dengan berniaga air tebu segar, di sini.

Awang Jamry,39, yang memulakan perniagaan menjual air tebu di Jalan Utara sejak 2017 lalu tetap meraih keuntungan walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19 pada masa sekarang.

Katanya, dia  juga suka berniaga di lapangan seperti penjaja lain, lebih-lebih lagi sekiranya ada bazar Ramadan kerana pendapatan yang diperolehi lebih lumayan.

“Namun setelah berlakunya pandemik COVID-19, saya tidak lagi  menjual secara langsung kepada orang ramai tetapi lebih kepada membekal kepada penjaja yang berjualan di sekitar daerah ini,”katanya

Menurutnya, keputusan untuk hanya menjadi pembekal kepada peniaga diambil kerana pergerakan yang sangat terhad ketika ini.

“Pada mulanya, saya tidak tidak meletakan harapan yang tinggi dengan hanya menjadi pembekal, sekadar hanya untuk meneruskan kehidupan dan memperolehi pendapatan sedikit.

“Namun, tidak menyangka permintaan daripada penjaja sangat menggalakan di bulan Ramadan sehingga tidak menang tangan untuk membekalkan kepada setiap pelanggan,”katanya

Awang berkata, setiap hari permintaan air tebunya mencecah sehingga 100 botol dan sekiranya cuaca panas boleh sehingga lebih 130 botol.

“Sebotol saya jual kepada penjaja RM4.50 dan daripada jualan harian itu saya boleh memperolehi keuntungan sehingga RM600.

“Saya sangat teruja kerana semua pelanggan yang datang berpuas hati dengan air tebu yang saya sediakan disebabkan masih segar dan kekal asli tanpa campuran gula,”katanya

Sementara itu, bagi pelanggan tetapnya, Shima Muhammad,40, berkata air tebu yang dihasilkan oleh Awang memang laris dipasaran.

Katanya, air tebu itu antara yang paling awal habis dijual berbanding minuman lain di tempat dia berniaga dalam bulan Ramadan kali ini.

“Kebiasaanya saya akan order sehingga 45 botol sehari untuk dijual di kedai dan memang setiap hari ianya akan habis awal.

“Selain air tebu, saya juga menjual air lain seperti laici, kurma, air buah dan selasi lemon dengan harga RM5 sebotol,”katanya

Manakala bagi Sofiyan Saimoh,29, pula, dia lebih suka terus pergi ke tempat Awang memerah tebu kerana berpuas hati minum air tebu baru diperah.

“Saya memang pengemar air tebu sejak dari dulu lagi dan untuk mendapatkan air tebu yang segar serta asli tanpa campuran gula sangat susah.

“Setelah mengetahui tempat ini, hampir setiap hari saya akan ke tempat Awang memerah tebu dan menikmati kesegarannya semasa berbuka puasa,”katanya

  • oleh
  • Advertisement