Anda di sini

Man Utd, Villareal bertemu di final

Advertisement
 Pemain Manchester Utd meraikan gol jaringan mereka pada perlawanan separuh akhir kedua menentang AS Roma di Stadium Olympic di Rome. — Gambar AFP
RAIKAN BERSAMA: Pemain Manchester Utd meraikan gol jaringan mereka pada perlawanan separuh akhir kedua menentang AS Roma di Stadium Olympic di Rome. — Gambar AFP

ROME: Manchester United mara ke final Liga Europa dengan agregat 8-5 kelmarin sungguhpun ditundukkan 2-3 oleh Roma di Studio Olimpico.

Pasukan Liga Perdana itu bakal berdepan dengan Villarreal dalam perlawanan akhir pada 26 Mei di Gdansk.

Anak didik Ole Gunnar Solskjaer telah menang 6-2 dalam perlawanan pertama menentang Rome, diikuti gol Edinson Cavani pada minit ke-39 dan ke-68 mengunci slot mereka ke final.

Roma mendahului malam itu pada awal separuh masa kedua dengan gol oleh Edin Dzeko dan Bryan Cristante dalam keajaiban tiga minit, ditambah dengan gol sendiri daripada Alex Telles menghadiahkan pasukan  tuan rumah kemenangan dalam pusingan kedua semasa perlawanan berbaki tujuh minit.

Roma tangkas dari awal menyaksikan Gianluca Mancini mencabar penjaga gol United David de Gea, dan Henrikh Mkhitaryan menanduk masuk bola ke tepi pintu gol.

Cavani menunjukkan belang, menyambar bola daripada Roger Ibanez untuk menggegarkan tiang gol dan memaksa penjaga gol Roma Antonio Mirante menafikan cubaan itu.

Pemain Uruguay itu akhirnya berjaya memecah masuk enam minit sebelum masa rehat, menyambut bola yang melalui Bruno Fernandes sebelum merembat pintu gol melepasi Mirante.

Dzeko, berusia 33 tahun, meraih gol penyamaan pada minit ke-57 dengan menanduk masuk hantaran Pedro melangkaui De Gea.

Cristante menambah gol kedua hanya tiga minit kemudian, dengan bantuan Lorenzo Pellegrini untuk membangkitkan  harapan Roma.

De Gea kemudiannya menampilkan aksi hebat apabila berjaya menyelamatkan dua kali tandukan Dzeko dan cubaan Pedro, dalam pada Cavani mengasak lagi pada minit-68 dengan menanduk masuk lorongan Bruno Fernandes melepasi Mirante.

Roma tidak berputus asa serta gol sendiri Telles memberikan sedikit kelegaan kepada pasukan itu yang bakal dipimpin musim depan oleh bekas jurulatih Man United, Jose Mourinho. — AFP

Advertisement