Anda di sini

‘Hari Raya Kita’ lagu raya solo pertama daripada Najwa Latif

Advertisement
 Single ‘Hari Raya Kita’ yang dilancarkan pada 30 April merupakan rakaman studio Najwa Latif ke-21.
SINGLE BAHARU: Single ‘Hari Raya Kita’ yang dilancarkan pada 30 April merupakan rakaman studio Najwa Latif ke-21.

SEMPENA kedatangan bulan Syawal yang mulia ini, Najwa Latif yang sebelum ini pernah mengeluarkan sebuah lagu raya berjudul ‘Hari Raya’ bersama Iamneeta, Mimie Haris dan Deanna Hussin muncul dengan satu single hari raya baharu secara solo.

Single berjudul ‘Hari Raya Kita’ yang berkonsepkan pop dan ‘catchy’ ini telah dilancarkan pada 30 April lepas dan merupakan rakaman studio Najwa yang ke-21.

Single ‘Hari Raya Kita’ ini ciptaan sepenuhnya oleh pemain gitar kumpulan Cactus Arin Lutfi dan Alif Hassan manakala liriknya pula ditulis bersama Arin Lutfi dan EllGee.

Kini bernaung di bawah labelnya sendiri NL Entertainment, Najwa melahirkan rasa syukur dapat melahirkan single raya solo pertama dan merupakan produk kelima miliknya.

Menurut Najwa lagi, dalam pembikinan single ini, beliau mendapat khidmat Alif Hassan selaku penerbit bersama dan turut menampilkan pemuzik-pemuzik lama dan baru terdiri daripada Ujang Exists, Ayoy dari kumpulan 6ixthsense dan Jay dari kumpulan Pretty Ugly.

Proses rakaman single ini telah mengambil masa seminggu untuk disiapkan di Hotsound Studio Kuala Lumpur, manakala proses Mixing Mastering dibuat oleh Muhd Mastering.

Bercakap mengenai muzik video ‘Hari Raya Kita’, Najwa memberitahu muzik video ini bertemakan suasana perayaan norma baharu pada musim pandemik ini yang telah masuk tahun kedua.

“Saya mahukan sebuah muzik video yang santai, berbaur kekeluargaan dan ‘catchy’ serta mesej kebaikan sesuai dengan konsep perayaan di musim pandemik ini,” katanya.

Selain itu, Najwa juga berharap agar lagu ini diterima ramai dan serta mendapat penerimaan daripada semua golongan dan sesuai untuk generasi alaf ini.

Muzik Video ‘Hari Raya Kita’ yang telah dilancarkan pada 30 April lalu ini boleh ditonton di saluran YouTube Channel Najwa Latif.

Advertisement