Anda di sini

AKPK kongsi cara pengurusan kewangan lebih baik sempena Hari Raya Aidilfitri

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ingin berkongsikan cara pengurusan kewangan yang lebih baik.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan AKPK hari ini menjelaskan, sejak negara dilanda pandemik COVID-19 sejak tahun lalu, setiap perayaan yang diraikan semasa pandemik memberi kelainan dengan pelbagai norma baharu yang DIterapkan.

Apa yang penting, semua pihak hendaklah kekal positif, walaupun banyak cabaran beraya tahun ini. 

"Kita kena sentiasa melahirkan rasa bersyukur, walaupun kita sekarang diuji dengan pandemik Covid-19. Sambutan Hari Raya tahun ini tetap akan disambut, namun cara mungkin berbeza. 

"Jika sebelum ini pada musim perayaan perbelanjaan kita selalunya tinggi, raya sewaktu pandemik ini adalah masa yang sesuai untuk kita rancang perbelanjaan yang sederhana tetapi lebih bermakna," katanya.

Pada musim perayaan kali ini, AKPK ingin berkongsi cara pengurusan kewangan yang lebih baik ketika kita membuat persediaan menyambut Hari Raya.

Perkara utama yang perlu dijaga ialah kawal selia perbelanjaan untuk berhari raya. Cara yang mudah adalah dengan mengawal perbelanjaan dengan cara mencatatkan setiap perbelanjaan, utamakan keperluan dan kawal perbelanjaan melalui bajet realistik.

Bajet realistik adalah bajet yang boleh dicapai dengan sumber yang ada. Bajet setiap individu berbeza. Kemampuan mencapai bajet juga berbeza. 

"Bajet adalah lebih kepada aliran tunai. Apa yang perlu ada dalam aliran tunai ialah aliran wang masuk dan aliran wang keluar. Mudah bukan?

"Dalam penyediaan bajet untuk raya, pertama sekali senaraikan sumber-sumber aliran wang masuk. 

"Ini termasuklah gaji, upah, insentif raya, bantuan, sumbangan. Kedua, senaraikan pula aliran wang keluar. 

"Biasanya aliran wang keluar untuk raya ialah baju raya, kasut raya, juadah raya, kuih raya, duit raya dan jangan dilupakan juga dana kecemasan. 

"Kos pengangkutan kunjung-mengunjung di Hari Raya boleh dikurangkan kerana had pergerakan dan ini boleh memberikan banyak penjimatan wang," katanya.

Setelah senaraikan aliran wang masuk dan keluar, lihat pada aliran wang keluar, sempena raya prihatin ini, kenali perbelanjaan yang perlu sahaja. 

Pastikan keutamaan kepada yang betul-betul perlu. Berikut adalah panduan kepada pecahan perbelanjaan iaitu barangan runcit diperlukan untuk keperluan isi rumah dan barangan runcit raya raya (20 peratus), pakaian raya seperti baju melayu, kasut dan sebagainya (10 peratus) atau gunakan pakaian sedia ada, duit raya (10 peratus) dan dana kecemasan (10 peratus).

Mengikut perancangan ini, hanya 40 peratus perbelanjaan yang dikatakan sebagai keutamaan atau keperluan. 

Sebenarnya, banyak perbelanjaan yang dapat dikurangkan dan wang lebihan boleh digunakan untuk menambah simpanan yang boleh digunakan kemudian hari. Ini juga adalah waktu yang sesuai untuk membina dana simpanan dan dana kecemasan. 

"Pada ketika ini kita masih lagi memerangi pandemik COVID-19, kita berhadapan dengan situasi kewangan baharu dan masih dalam ketidakpastian.

"Oleh itu tingkatkan rizab simpanan kita sebanyak mungkin. Semoga tips yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat kepada kita dalam menguruskan kewangan pada musim perayaan ini. Jadikan Raya tahun ini lebih bermakna walaupun dalam kesederhanaan," katanya.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara-cara pengurusan kewangan berhemat, AKPK ada menyediakan perkhidmatan pendidikan kewangan atas talian di power.akpk.org my. 

Pembelajaran ini akan membantu individu mengusai situasi kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak dan berhemat. 

Selain itu, AKPK juga ada menyediakan khidmat bantuan pembayaran balik pinjaman  kepada penyelia-penyelia kredit mengikut kesesuaian aliran tunai peminjam melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) kepada individu dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). 

Perkhidmatan-perkhidmatan ini diberikan percuma kepada semua individu dan PKS. Sentiasa beringat, AKPK tidak pernah melantik mana-mana agen untuk menjalankan perkhidmatan AKPK di luar sana. 

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, hubungi AKPK Cawangan Kota Kinabalu di 088-538355 atau daftar secara atas talian di services.akpk.org.my. 

Di kesempatan ini AKPK ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dari AKPK, sahabat kewangan anda.
 

  • oleh
  • Advertisement