Anda di sini

Tidak leka, terus budayakan norma baharu: Tun Juhar

Advertisement
 Tun Juhar (tengah, depan) menunjukkan isyarat terbaik ketika merakam gambar bersama rombongan penyumbang kek hari raya.
TERBAIK: Tun Juhar (tengah, depan) menunjukkan isyarat terbaik ketika merakam gambar bersama rombongan penyumbang kek hari raya.

KOTA KINABALU: Dalam kegembiraan meraikan hari lebaran, masyarakat diingatkan agar tidak leka dan terus membudayakan norma baharu.

Menurut Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, pembudayaan norma baharu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) penting dalam menjayakan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 yang membelenggu rakyat seluruh dunia sejak tahun lalu.

"Kita bersyukur kerana kes Covid-19 di Sabah ketika ini masih terkawal dan kita dapat meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dengan pematuhan SOP yang ketat.

"Oleh itu, kita jangan sesekali leka kerana walaupun kes Covid-19 telah menurun di Sabah, virus ini masih berlegar-legar.

"Kita tidak tahu sama ada kes ini akan terus turun atau naik semula kerana ini semua bergantung kepada diri sendiri, kalau kita leka, tidak mustahil Sabah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi dan menjejaskan banyak sektor ekonomi.

"Jadi, saya menyeru seluruh masyarakat agar sama-sama berdoa, di samping sentiasa berhati-hati dan paling penting mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya pada Majlis Penyampaian Kek Sempena Hari Raya Aidilfitri 1442H/ 2021M di Istana Negeri, pada Khamis. 

Dalam ucapan ringkas itu, Tun Juhar merakamkan ucapan terima kasih kepada 12 penyumbang kek terdiri daripada para pengusaha hotel terkemuka dan pasukan keselamatan.

"Saya serta keluarga terharu dan mengucapkan ribuan terima kasih kerana walaupun berdepan pandemik Covid-19, pihak hotel dan pasukan keselamatan masih mampu menyediakan kek ini.

"Dengan jumlah kek ini, saya dan keluarga memang tak habis makan, tetapi seperti mana yang anda semua tahu, kek-kek ini akan didermakan kepada badan-badan kebajikan termasuk rumah anak yatim, madrasah tahfiz dan kanak-kanak Orang Kurang Upaya," jelas beliau.

Selepas itu, Tun Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni menyampaikan kad dan duit raya kepada 50 kakitangan Istana Negeri, 36 pegawai dan anggota Polis serta tujuh orang petugas media.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Sulit, Ag Damit Pg Apong memaklumkan kek berkenaan akan diagihkan kepada para petugas barisan hadapan, golongan asnaf dan para pelajar antaranya, Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Queen Elizabeth II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Rumah Anak Yatim Tambunan, Universiti Malaysia Sabah dan Mahad Tahfiz Qurainiyyah Kinarut.

  • oleh
  • Advertisement