Anda di sini

PPD Kinabatangan bersama enam NGO berjaya kumpul RM14,219.55 melalui Projek Amal Kasih RABB

Advertisement
 Munah (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama rakan jaringan strategik dan Redzuan (atas kanan)
KENANGAN: Munah (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama rakan jaringan strategik dan Redzuan (atas kanan)

KINABATANGAN: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinabatangan bersama enam badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) berjaya mengumpulkan RM14,219.55 sumbangan melalui Projek Amal Kasih Rezeki Allah Bagi-bagi (RABB).

Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Unit Pendidikan Islam (Menengah) Sektor Pembelajaran PPD Kinabatangan Redzuan Mohd Jukim berkata, sumbangan tersebut berjaya dikumpulkan melebih daripada sasaran asal projek berkenaan.

"Projek ini sebenarnya daripada idea PPD Kinabatangan sendiri dan ia dijenamakan semula lalu diperkembangkan pada tahun ini.

"Melalu RABB ini, kita mendapat sambutan yang baik pada tahun lalu dengan mengumpulkan sumbangan sebanyak RM8,925.

"Saya ingat, kita telah melebihi sasaran sumbangan RM10,500 yang mana jumlah terkini iaitu RM14,219.55," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Amal Kasih RABB, di sini semalam.

Redzuan yang juga Pengarah Projek Amal Kasih RABB berkata, projek berkenaan akan berlangsung sepanjang tahun dengan kerjasama rakan-rakan jaringan strategik mereka.

"Kutipan bagi sumbangan kali ini, ia akan berlangsung sehingga 7 Mei ini sahaja.

"Namun, RABB ini tetap berjalan sepanjang tahun dengan peluasan beberapa projek amal yang lain bersama beberapa badan atau jabatan kerajaan dan NGO tempatan.

"Antara yang terlibat seperti Persatuan Wanita Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (Pewanis) Cawangan Kinabatangan, Persatuan Muslimah Daerah Kinabatangan, Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Cawangan Kinabatagan, Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (Perkips) Cawangan Kinabatangan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Kinabatangan," jelasnya.

 Munah (kanan) menyampaikan sumbangan Infak Projek Amal Kasih RABB kepada Maahad Tahfiz Ar-Rahmah Kinabatangan.
SERAH: Munah (kanan) menyampaikan sumbangan Infak Projek Amal Kasih RABB kepada Maahad Tahfiz Ar-Rahmah Kinabatangan.

Sebagai Penasihat Pertubuhan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Malaysia (Pekdis) Kinabatangan, beliau berharap agar projek tersebut berterusan sehingga enam subprojek lain yang bakal dilaksanakan.

"Dalam pada itu, mudah-mudahan kita dapat bersama-sama menuju ke arah tersebut.

"Saya juga menyeru dan mengajak warga Kinabatangan untuk bersama-sama terlibat dalam menjayakan Projek Amal Kasih RABB dan berkongsi rezeki.

"Antara bentuk sumbangan yang boleh dihulurkan ialah seperti barang keperluan makanan asas boleh disumbangkan," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai PPD Kinabatangan merangkap Pengerusi Pewanis Cawangan Kinabatangan Munah Nasri berkata, projek tersebut dijalankan bertujuan untuk membantu golongan masyarakat setempat yang lebih memerlukan bantuan keperluan berkenaan.

Tambahnya, dengan gandingan beberapa badan kerajaan dan NGO tempatan itu sudah pasti menjadi penyuntik semangat untuk menggerakkan lagi projek tersebut sepanjang tahun.

"Katika ini, ramai yang hilang pekerjaan kerana serangan Covid-19 menyerang seluruh dunia.

"Dengan kerjasama ini, kita dapat sama-sama bekerja dengan lebih erat mengumpulkan sedekah bagi mereka yang memerlukan dalam bulan Ramadan.

"Kali ini, kita buat perkongsian strategi agar dapat mengumpulkan lebih banyak sumbangan dan berkongsi rezeki dengan masyarakat di sekitar Kinabatangan," katanya.

Dalam majlis berkenaan turut menyaksikan acara menandatangani memorandum (MOU) Rakan Jaringan Strategik projek tersebut.

Selain itu, melalui projek tersebut juga turut menyampaikan sumbangan Infak Projek Amal Kasih RABB kepada Maahad Tahfiz Ar-Rahmah Kinabatangan. 
 

  • oleh
  • Advertisement