Anda di sini

Nadal sasar kejuaraan Terbuka Madrid yang ke-6

Advertisement
 Nadal (kiri) berjabat tangan dengan Alcaraz selepas tamat perlawanan di antara mereka dalam Kejohanan Terbuka Madrid di Caja Magica. — Gambar AFP
SEMANGAT KESUKANAN: Nadal (kiri) berjabat tangan dengan Alcaraz selepas tamat perlawanan di antara mereka dalam Kejohanan Terbuka Madrid di Caja Magica. — Gambar AFP

MADRID: Rafael Nadal memulakan bidaan untuk kejuaraan Terbuka Madrid buat kali keenam apabila mudah menewaskan pemain muda Carlos Alcaraz 6-1 dan 6-2 untuk melangkah ke pusingan 16 akhir pada Rabu.

Nadal, yang kembali ke ranking kedua dunia minggu lepas setelah menewaskan Stefanos Tsitisipas di final di Barcelona, tidak menghadapi masalah menewaskan lawannya yang berusia 18 tahun itu.

Berada pada ranking ke-120 dunia, Alcaraz meninggalkan padang dengan penonton menyanyikan lagu “selamat hari lahir” dan juga menerima kek ketika meraikan ulang tahun kelahiran dengan menentang idolanya.

Alcaraz bermain dengan berani tetapi ternyata tidak mampu memberi cabaran serius kepada salah seorang bintang terhebat sukan tenis dunia.

“Kemenangan di Barcelona banyak membantu saya. Semuanya berasa lebih bagus sejak itu,” kata Nadal sebelum memberikan pujian khas kepada lawannya.

“Beliau mempunyai banyak potensi. Beliau masih muda, sudah mempunyai tahap permainan yang bagus dalam sukan tenis dewasa ini tetapi saya benar-benar percaya bahawa beliau akan menjadi pemain yang hebat di masa hadapan.”

“Saya mengharapkan beliau yang terbaik,” tambah Nadal. “Sebagai pemain Sepanyol dan peminat tenis Sepanyol, saya benar-benar percaya kita memerlukan seseorang seperti beliau dan ia adalah hebat untuk beliau bermain di sini.”

Di pusingan seterusnya, Nadal akan menentang Alexei Popyrin di pusingan keempat selepas pemain dari Australia itu menewaskan Jannik Sinner 7-6(7/5) dan 6-2.

Tsitsipas, naib juara 2019, menewaskan Benoit Paire 6-1 dan 6-2 dalam kurang dari satu jam tetapi Paire, pemain dari Perancis itu diselubungi kecederaan.

Tsitipas, pilihan keempat kejohanan dari Greece, meraih kemenangan ke-27 musim  ini dan akan bertemu Casper Ruud dari Norway untuk satu tempat ke suku akhir.

Pada perlawanan awal, pilihan kedua, Daniil Medvedev, yang kembali beraksi selepas diuji positif COVID-19 pada pertengahan bulan April, meraih kemenangan pertama di permukaan tanah liat dalam tempoh dua tahun apabila bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Alejandaro Davidovich Fokina 4-6, 6-4 dan 6-2.

Jaguh dari Rusia itu sentiasa bergelut di permukaan tanah liat.

Pada perlawanan lain,  pilihan kelima, Alexander Zverev menewaskan Kei Nishikori 6-3 dan 6-2 sementara pemain ranking kesembilan dunia, Diego Schwartzmann, tewas kepada Aslan Karatsev 2-6, 6-4 dan 6-1 dan menempah pertemuan menentang Alexander Bublik di pusingan seterusnya.

Dalam bahagian wanita, Ashleigh Barty akan menentang Paula Badosa di peringkat separuh akhir selepas menewaskan Petra Kvitova 6-1, 3-6 dan 6-3.

Barty, pemain nombor satu dunia, memburu kejuaraan perseorangan keempat tahun ini selepas kejuaraan di Stuttgart 10 hari yang lalu.

Di separuh akhir, beliau akan bertemu pemain yang menyingkirkannya di Charleston pada awal bulan April.

Kvita adalah juara di sini pada 2011, 2015 dan 2018.

Badosa, pemain wildcard kejohanan, menjadi pemain wanita pertama dari Sepanyol dalam 12 tahun kejohanan ini  untuk melangkah ke peringkat separuh akhir selepas mengejutkan pilihan kelapan, Belinda Bencic 6-4 dan 7-5.

Pada perlawanan lain, Anastasia Pavlyuchenkoda menewaskan Karolina Muchova 7-6 (7/4) dan 7-6 (7/2)

Untuk menempah pertemuan menentang Aryna Sabalenka, yang meneruskan kemaraan apabila lawanyna, Elise Mertens menarik diri kerana kecederaan ketika ketinggalan 6-1 dan 4-0. — AFP

Advertisement