Anda di sini

Warga emas mengaku tak bersalah miliki rokok seludup

Advertisement
 

KUCHING: Seorang warga emas wanita berusia 78 tahun mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki rokok seludup bernilai RM128.08. 

Tertuduh, Mock Teck Yeang yang merupakan pemilik kedai runcit, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali. 

Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan didakwa memiliki barangan larangan import, iaitu 85 paket rokok dari 21 jenama berbeza pada 1 Ogos 2019, jam lebih kurang 12.50 tengah hari di kedai miliknya di Stapok, Batu Kawa di sini. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebaik pengakuan direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin mahkamah RM5,000 berserta seorang penjamin tempatan, selain menetapkan 11 Jun depan sebagai pengurusan kes. 

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Masdi Umar manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Lian Kee. 

  • oleh
  • Advertisement