Anda di sini

Penganggur lepas dan bebas tuduhan memiliki dadah

Advertisement
(dari kiri) Christopher, tertuduh, Abdul Rahman dan pelatih dalam kamar Nur Azureen Zainudin.
(dari kiri) Christopher, tertuduh, Abdul Rahman dan pelatih dalam kamar Nur Azureen Zainudin.

KUCHING: Seorang penganggur lelaki terlepas hukuman penjara apabila Mahkamah Majistret di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan memiliki syabu seberat 5.32 gram. 

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan demikian terhadap Mohd Norishyam Abdullah, 23, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Zubaidah memutuskan demikian setelah mempertimbangkan semua bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan semasa pemeriksaan balas, serta berdasarkan penilaian maksimum atas keseluruhan bukti tersebut.

Mahkamah juga berpendapat pihak pendakwaan gagal memenuhi semua elemen penting bagi pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Justeru, mahkamah menetapkan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa memiliki syabu seberat 5.32 gram pada 31 Mac 2020, jam 5.35 petang semasa berada di sekatan jalan raya Ops COVID-19 di Jalan Batu Kawa-Stephen Yong, di sini.

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh sedang menunggang motosikal sebelum ditahan oleh pihak berkuasa yang bertugas pada hari kejadian.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu plastik lutsinar dan satu bungkusan surat khabar yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu di dalam beg tertuduh.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) Akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun, dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada tiga serta tidak melebihi sembilan sebatan. 

Tertuduh diwakili peguam, Christopher Bada Stanley Nyitar dan Abdul Rahman Mohamad Hazmi. 

  • oleh
  • Advertisement