Anda di sini

Kisah santai dan lucu dalam ‘Assalamualaikum Mustafa’ di TV9

Advertisement
 

SEPANJANG Ramadan ini, Rangkaian Televisyen Media Prima telah menyusun pelbagai drama menarik bersama barisan pelakon-pelakon mantap khusus buat penonton setianya.

Justeru istimewa Ramadan tahun ini, TV9 memilih untuk berkongsi sebuah cerita santai dan lucu namun memberi kesan di dalam hati kita semua iaitu ‘Assalamualaikum Mustafa’, sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Judul drama itu pasti anda rasa ia ditujukan kepada seorang lelaki. Kreativiti Fairuz Loy tidak dapat disangkal lagi apabila beliau sebenarnya mengarah sebuah drama menarik dan unik berkaitan dengan seekor kambing.

Istimewa Ramadan: Assalamualaikum Mustafa yang mengandungi 13 episod ini merupakan terbitan Country & Universal Sdn Bhd ditayangkan pada setiap Rabu dan Khamis, jam 9.30 malam dengan episod pertamanya telah pun menemui penonton bermula semalam.

Selaku pengarah, Fairuz Loy akui berhadapan dengan cabaran apabila mengarah ‘Mustafa’ dalam drama bersiri ini. Ini maklum balas daripada beliau sepanjang pengalaman mengarah seekor kambing.

“Cabaran saya lebih banyak kepada pelakon kanak-kanak dan kambing. Tak semua kanak-kanak suka kambing dan kita faham situasi itu. Kita kena hidupkan mood dan ekspresi mereka bila berhadapan dengan kambing.

“Tetapi lebih mencabar apabila nak menunggu mood kambing itu sendiri. Kadang-kadang kambing ini dalam mood yang baik, kadang-kadang tidak, kadang-kadang mengembek saja dan paling risau bila kambing ini diam tak ada ekspresi.

“Memang lucu tetapi saya dan krew perlu bersabar dan kami cuba sebaiknya untuk memberikan drama terbaik buat penonton,” ujar beliau yang sebelum ini pernah mengarahkan drama yang melibatkan seekor kucing dalam Cerekarama Minki.

‘Assalamualaikum Mustafa’ mengisahkan tentang seekor kambing peliharaan Atok Budin (Kazar). Atok Budin terpaksa menjual kesemua kambing peliharaannya kecuali Mustafa, kerana kambingnya sering merosakkan tanaman orang-orang kampung.

Amar (Adib Haziem) dan ibunya Aishah (Rozita Che Wan), anak kepada Atok Budin terpaksa berpindah ke kampung halaman iaitu Kampung Imam Lapar setelah kematian ayahnya Shauki. Aishah sangat berharap agar Amar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kampung.

Atok Budin gembira dengan kehadiran anak dan cucunya kerana tinggal keseorangan di kampung kecuali jika cuti semester, anak bongsunya Paksu Harris (Syazwan Zulkifly) akan berada bersamanya.

Kegembiraan berganda buat Atok Budin apabila mereka dapat menyambut bulan Ramadan bersama anak-anak dan cucunya buat pertama kali.

Paksu Harris suka menyakat Amar dan ini tidak disenangi olehnya.

Di kampung pula terdapat tiga orang kanak-kanak yang sebaya dengannya iaitu Yaya, Comel dan Ali.

Namun Amar tidak menyenangi mereka kerana bagi Amar mereka ketinggalan zaman tidak seperti dia yang datang dari bandar.

Amar sentiasa melihat Atok Budin bercakap dengan Mustafa.

Dia pelik tetapi tidak mengendahkannya sehinggalah suatu hari dia seperti mendengar Mustafa memanggil namanya. Dia menceritakan perkara itu kepada Atok Budin, ibunya dan Paksu Harris tetapi semua tidak percaya dan membuat kesimpulan yang Amar terlalu rindukan arwah ayahnya.

Amar sedih dan akhirnya Amar menjadi akrab dengan Mustafa.

Mustafa seolah-olah memahami masalah yang dihadapi oleh Amar dan menasihati Amar untuk berbaik dengan kawan-kawan baharunya.

Bagaimana kesudahan Amar dan Mustafa? Adakah orang sekeliling mempercayai kata-kata Amar yang Mustafa boleh bercakap? Jangan lupa untuk menonton ‘Assalamua-laikum Mustafa’, yang penuh dengan aksi lucu ini hanya di TV9.

Advertisement