Anda di sini

Kerajaan Persekutuan laksana empat penambahbaikan pemberian kepada negeri

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk melaksanakan empat penambahbaikan terhadap pemberian dan sokongan yang disalurkan kepada kerajaan negeri bagi 2021, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Menerusi kenyataan pada Khamis, MoF menjelaskan ia termasuk penambahan peruntukan berjumlah RM50 juta kepada RM400 juta di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada semua kerajaan negeri.

“Peningkatan peruntukan ini bertujuan membiayai aktiviti Pindahan Fiskal Ekologi sebagai insentif tambahan kepada kerajaan untuk menjamin kelestarian biodiversiti negara,” menurut MoF.

Penambahbaikan tersebut diumumkan melalui mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang diadakan secara maya pada Khamis dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri menteri besar dan ketua menteri dari semua negeri.

Kementerian itu menjelaskan kerajaan Persekutuan turut bersetuju meluluskan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri berjumlah RM440 juta bagi membantu kerajaan negeri yang mengalami defisit untuk menguruskan hal ehwal kewangan dan melaksanakan projek pembangunan masing-masing.

Ini susulan kerajaan Persekutuan menyedari situasi sukar yang dialami kebanyakan kerajaan negeri terutama dalam pengurusan kewangan negeri ketika pandemik COVID-19, jelasnya.

Majlis Kewangan Negara juga bersetuju supaya Garis Panduan Tatacara Penggunaan Pemberian Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) ditambah baik antaranya termasuk perluasan takrifan penyenggaraan jalan negeri.

“Keputusan ini diharapkan dapat memberi fleksibiliti kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan jalan mengikut keutamaan dan kesegeraan di negeri masing-masing seterusnya menjamin keselamatan rakyat terutama pengguna jalan raya,” menurut MoF.

Selain itu, kerajaan Persekutuan turut menyedari kerajaan negeri juga mengalami pengurangan hasil pendapatan yang sangat drastik.

MoF menambah, justeru, bagi penambahbaikan keempat, kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan berjumlah RM260 juta kepada kerajaan negeri bagi membantu negeri melaksanakan projek-projek berskala kecil di peringkat akar umbi.

“Agihan pertama sebanyak RM60 juta telah disalurkan kepada negeri-negeri dengan had maksimum bagi setiap projek ditetapkan pada RM100,000 melalui kaedah cabut undi untuk memastikan pengagihan peruntukan dapat memanfaatkan kontraktor kecil bumiputera secara saksama,” menurutnya.

MoF menekankan kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan kerajaan-kerajaan negeri sentiasa berada dalam tahap terbaik.

“Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri setiap tahun.

“Oleh yang demikian, besarlah harapan kerajaan Persekutuan supaya pemberian-pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri terutama dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” jelas MoF. - Bernama 

Advertisement