Anda di sini

Hari pertama suntikan vaksin AstraZeneca berjalan lancar

Advertisement
 Sebahagian penerima vaksin pada Program Suntikan Vaksin AstraZeneca Secara Sukarela di Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), ibu negara semalam. — Gambar Bernama
TUNGGU GILIRAN: Sebahagian penerima vaksin pada Program Suntikan Vaksin AstraZeneca Secara Sukarela di Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), ibu negara semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Di sebalik kebimbangan awam terhadap vaksin COVID-19 AstraZeneca, hari pertama proses suntikan vaksin berkenaan berjalan lancar setakat ini.

Malah rakyat Malaysia dan warganegara asing yang menjadi antara individu terawal disuntik vaksin itu, meluahkan rasa teruja dan bertuah menerima suntikan tersebut yang bermula semalam.

Pemberian suntikan vaksin AstraZeneca secara sukarela bermula semalam di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang.

Semalam suntikan di tiga PPV iaitu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia melibatkan hampir 4,000 janji temu.

Tinjauan Bernama di PPV WTC, Kuala Lumpur mendapati orang ramai yang mempunyai janji temu mula menunggu di hadapan pintu masuk seawal 8 pagi lagi.

Pekerja teknologi maklumat, Sharifah Shahnaz Syed Aidil Hassan, 29, berkata suntikan vaksin memberi kelegaan kepada dirinya sekeluarga, selain mahu memberi advokasi kepada orang ramai tentang tanggungjawab rakyat Malaysia untuk mewujudkan komuniti kelompok.

“Beberapa ahli keluarga juga telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan ini, jika ia berkesan dengan baik pada kami, kami mahu sebarkan kebaikannya pada orang ramai pula,” katanya yang tinggal di Shah Alam.

Dalam pada itu, ahli perniagaan Eddy Ng, 48, berkata, dia mahu mengambil vaksin secepat mungkin kerana mahu menjalani hidup normal seperti biasa, dan berharap jangkitan virus berkenaan di negara mampu dikawal dengan pemberian vaksin.

“Tidak kira vaksin jenis apa, terpulang pada kita untuk mendapatkannya atau tidak, jika ada berfikiran ia (AstraZeneca) tidak sesuai untuk kesihatan itu terpulang, tetapi penting untuk kita rakyat Malaysia untuk mendapatkan vaksin COVID-19 secepat mungkin,” katanya.

Adlucia Maghnes, 48, dari Sydney, Australia menyifatkan beliau berasa begitu bertuah, kerana dapat mengambil vaksin berkenaan di negara ini.

Katanya, ahli keluarganya yang telah mengambil vaksin jenis itu di United Kingdom dan tidak menunjukkan sebarang simptom selepas menerima suntikan tersebut, mendorongnya untuk mendapatkan vaksin itu sebaik pendaftarannya dibuka Ahad lalu.

Pemberian vaksin AstraZeneca dijalankan di bawah fasa keempat iaitu kawalan wabak dan ia diberi secara berasingan daripada Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, melibatkan 268,000 dos untuk fasa pertama. — Bernama

Advertisement