Anda di sini

Ejen insurans didakwa edar 18.2 kilogram ganja

Advertisement
 

KUCHING: Seorang ejen insurans sambilan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengedar 18.2 kilogram ganja. 

Maxine Rose Frederick, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zaiton Anuar yang kemudiannya menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan lanjut kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Sementara menunggu tarikh tersebut, tertuduh direman lanjut di Penjara Puncak Borneo. 

Tiada pengakuan direkodkan daripada wanita yang berasal dari Kampung Cemerlang itu kerana kes melibatkan hukuman mati akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi. 

Berdasarkan pertuduhan, wanita tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di balai ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 28 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 kali sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menahan tertuduh yang tiba dengan penerbangan dari Kuala Lumpur bersama bagasi dibawanya. 

Pegawai JKDM yang bertugas di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) melakukan imbasan terhadap bagasi dibawanya dan menemui imej mencurigakan.

Hasil pemeriksaan seterusnya mendapati bagasi tersebut mengandungi 18 bungkusan dadah jenis ganja seberat 18.2 kilogram yang dibalut kertas hadiah dan kertas karbon.

Tertuduh juga dikatakan tertarik dengan tawaran pekerjaan di sebuah syarikat di Serian yang dijanjikan rakannya yang ditemui di Kuala Lumpur, sehingga sanggup membawa bagasi besar dikirim rakannya itu ketika balik ke Kuching. 

Wanita tersebut seterusnya direman selama tujuh hari bermula 29 April lalu sehingga hari ini (6 Mei). 

Tertuduh diwakili peguam, Roger Chin manakala pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa JKDM Masdi Umar.

  • oleh
  • Advertisement