Anda di sini

Bank Bergerak untuk penduduk luar bandar Sarawak

Advertisement
Abang Johari melakukan simbolik pelepasan Perkhidmatan Bank Bergerak yang dilancarkan di sini, hari ini. - Gambar Penerangan.
Abang Johari melakukan simbolik pelepasan Perkhidmatan Bank Bergerak yang dilancarkan di sini, hari ini. - Gambar Penerangan.

KUCHING: Masyarakat luar bandar yang tiada mempunyai perkhidmatan perbankan kini boleh mendapat perkhidmatan berkenaan menerusi Bank Bergerak yang dilancarkan hari ini.

Dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, Perkhidmatan Bank Bergerak itu mendapat kerjasama daripada empat institusi bank yang akan menawarkan perkhidmatan di beberapa kawasan luar bandar sebagai permulaan.

Antara bank terlibat adalah Bank Simpanan Nasional (BSN), Agro Bank, Bank Rakyat dan RHB Bank.

Abang Johari pada sidang media selepas majlis pelancaran berkata, kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada empat bank terlibat kerana menyahut seruan untuk memberikan perkhidmatan bank kepada penduduk kawasan luar bandar.

"Saya merasakan ia satu pendekatan bagi kita meringankan masalah dihadapi masyarakat di luar bandar dari sudut perkhidmatan bank ini. Saya percaya bank-bank yang terlibat mempunyai jadual dan waktu (operasi) masing-masing selain akan memaklumkan kepada rakyat kita dari masa ke semasa mengenai perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan yang disediakan bank-bank itu kepada kawasan terpencil di negeri ini amat penting kepada mereka yang tidak mempunyai perkhidmatan perbankan.

Abang Johari berkata, bagi BSN mereka akan memberi perkhidmatan di kawasan Sebauh dan Sungai Asap sementara Bank Rakyat akan memberi perkhidmatan di Sebauh, Tatau, Sungai Asap dan Belaga.

"Untuk Agro Bank, mereka akan menawarkan perkhidmatan di Padawan, Bau, Lundu, Sematan, Lingga, Pantu, Tebedu, Asajaya dan Sebuyau.

"Kesemua ini adalah kawasan pertanian yang sudah tentu memberi perkhidmatan kepada petani kita khasnya, selain kepada mereka yang terlibat dalam pelancongan kerana kawasan terlibat ini sedang rancak pembinaan lebuh raya pesisir," katanya.

Manakala bagi RHB Bank, beliau berkata mereka akan memberi perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Balingian, Oya dan Igan.

Sebelum ini Abang Johari mengumumkan inisiatif perkhidmatan bank bergerak di luar bandar Sarawak dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang pada 8 Mei 2020 dengan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.  

Dibawah pakej itu katanya kerajaan negeri memberi peruntukkan RM200,000 kepada bank terlibat sebagai permulaan iaitu untuk membeli kenderaan yang digunakan bank bergerak.

Abang Johari berkata, bank bergerak itu menyediakan semua perkhidmatan yang sama seperti disediakan di premis bank di bandar dan ia memudakan masyarakat luar bandar mendapatkan perkhidmatan yang mereka mahu uruskan. 

Beliau mengalu-alukan institusi bank lain yang berminat untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan dan berharap perkhidmatan akan diperluaskan ke kawasan lain yang memerlukan pada masa akan datang.

Perkhidmatan yang disediakan merangkumi perkhidmatan kemudahan Automated Teller Machine Malaysian Electronic Payment System (ATM MEPS) dan kaunter perkhidmatan pelanggan. 

Ini akan mengurangkan beban masyarakat luar bandar khususnya kos perjalanan ke bandar bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Hadir sama majlis Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

  • oleh
  • Advertisement