Anda di sini

70 peratus warga Maritim Kelantan siap siaga bertugas pada Aidilfitri

Advertisement
 Khairun Dalilah (dua kiri) memberi taklimat kepada anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di atas kapal KM Amanah pada Ops Khas Pagar Laut di Perairan Kelantan dekat Pasir Puteh, semalam. — Gambar Bernama
TAKLIMAT: Khairun Dalilah (dua kiri) memberi taklimat kepada anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di atas kapal KM Amanah pada Ops Khas Pagar Laut di Perairan Kelantan dekat Pasir Puteh, semalam. — Gambar Bernama

PASIR PUTEH: Bagi menjaga keselamatan perairan sempadan negara bersempena Aidilfitri, 70 peratus daripada 160 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan sanggup dibekukan cuti untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kelantan Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, menjadi kelaziman bagi para pegawai dan anggota berkenaan untuk sentiasa bersiap siaga memandangkan pemantauan di perairan sempadan perlu diperketatkan lagi ketika musim perayaan.

Menurut Khairun Dalilah, ini kerana aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara, antaranya, penyeludupan barangan seperti mercun dan bunga api, akan meningkat apabila tiba musim perayaan tertentu yang mampu memberi pulangan besar kepada golongan penyeludup.

“Pihak Maritim Kelantan akan melaksanakan tugasan sebaik mungkin dalam hal ini dengan memastikan ada penggiliran penugasan, kawalan dan pemantauan di perairan sempadan negara terutama di kawasan pantai timur pada setiap masa.

“Tambahan pula, Maritim Malaysia juga akan menambah aset-aset di bahagian sempadan malah turut melaksanakan Op Khas Pagar Laut yang bermula 3 hingga 23 Mei ini di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita, di sini malam kelmarin.

Sementara itu ketika ditemui pemberita, Laskar Kelas I Maritim Mohd Syazrul Hazim Md Rozi, 23, mengakui berasa sedih kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga yang berada di Alor Setar, Kedah selama tiga tahun berturut-turut.

“Perasaan sedih itu memang ada sebab tak dapat jumpa mak, ayah dan adik-adik perempuan saya. Walaupun boleh balik hujung minggu, bertugas semasa hari raya nanti terasa lain sikitlah sebab tahun ini baru kahwin, jadi tak dapat nak bawa isteri beraya bersama mak dan ayah di kampung.

“Saya pula anak sulung daripada empat beradik dan memang rapat dengan adik bongsu perempuan berumur enam tahun yang selalu telefon bertanyakan bila nak balik.

“Rindu itu sememangnya ada tetapi demi tugas, saya rela cuti dibekukan dan sebagai pengubat rindu,  saya sentiasa membuat panggilan menerusi aplikasi WhatsApp atau panggilan video terhadap keluarga,” katanya yang berkhidmat dengan Maritim Kelantan sejak empat tahun lepas.

Situasi sama dirasai Laskar Kelas I Maritim Safrizan Jaslin, 28, yang mengakui dia sememangnya merindui suasana menyambut Aidilfitri bersama keluarga yang berada di Ranau, Sabah.

“Namun, saya rela berkorban masa kerana perlu menyertai operasi ketika hari raya ini selain keadaan COVID-19 juga semakin teruk,” kata anak kedua daripada lapan beradik itu yang telah berkhidmat selama lima tahun dengan Maritim Kelantan. — Bernama

Advertisement