Anda di sini

Salah jual loteri haram, dihukum penjara dan denda

Advertisement
 

MIRI: Gara-gara memiliki dan membantu menjual tiket loteri haram, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM20,000 atau tiga bulan penjara.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah Kennedy Salleh, 23, dari Kampung Api, Lutong mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM25,000 dan tidak melebihi RM200,000 serta penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, sepasukan polis diketuai Inspektor Mohd Shamm Nazfadzley telah membuat serbuan loteri awam tanpa lesen ke kawasan kaki lima yang terletak bersebelahan sebuah pasaraya di Desa Senadin.

Dalam serbuan jam 5.30 petang, 25 Ogos 2020, polis telah menahan tertuduh yang sedang duduk di hadapan kaunter.

Semasa tangkapan dilakukan, polis turut merampas beberapa barang seperti tiga unit telefon bimbit, wang tunai RM468 dan empat batang pen yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan loteri awam haram.

Hasil siasatan lanjut polis mendapati tertuduh telah menjalankan kegiatan penjualan loteri awam haram.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement