Anda di sini

Pusat Sehenti COVID-19 akan dibuka di Kapit

Advertisement
Pusat Sehenti COVID-19 di MBKS, Kuching yang dibuka bermula 3 Mei. - Gambar Unit Komunikasi Awam Sarawak.
Pusat Sehenti COVID-19 di MBKS, Kuching yang dibuka bermula 3 Mei. - Gambar Unit Komunikasi Awam Sarawak.

SIBU: Sebuah Pusat Sehenti COVID-19 akan diwujudkan di Kapit bagi mengekang penularan wabak maut itu di bahagian berkenaan. 

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penubuhan pusat tersebut diputuskan susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 kebelakangan ini. 

Katanya, lokasi pembukaan pusat berkenaan akan diputuskan selepas pertemuan dengan agensi kerajaan dan wakil rakyat di Pejabat Residen Kapit esok (Khamis).

Pusat Sehenti COVID-19 memerlukan kawasan yang cukup besar, kerana ia menempatkan kaunter pendaftaran dan juga kaunter ujian saringan dan lain-lain.

"Kami akan mengadakan pertemuan dengan Pejabat Residen (Kapit), wakil rakyat dan semua agensi (kerajaan) yang terlibat dan melantik seseorang untuk menguruskan pusat ini," katanya ketika dihubungi tadi. 

Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit itu kini sedang dalam perjalanan ke Kapit untuk membantu penubuhan Hospital Medan Angkatan Tentera (ATM) dan Pusat Sehenti COVID-19. 

Aaron berkata, tujuan pusat ini ditubuhkan untuk mengambil alih aktiviti lapangan yang berkaitan dengan ujian saringan serta pengesanan kes aktif (ACD).

"Mereka yang perlu menjalani ujian saringan atau yang dikenalpasti mempunyai kontak rapat dengan pesakit boleh datang terus ke Pusat Sehenti COVID-19 dan tidak perlu tidak perlu lagi pergi ke hospital atau klinik kesihatan

"Doktor akan membuat janji untuk mereka yang pergi ke sana (Pusat Sehenti COVID-19)," katanya.

Menurut Aaron penubuhan Pusat Sehenti COVID-19 adalah inisiatif Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

"JPBNS juga sedang merancang untuk mendirikan pusat tersebut di setiap bahagian dan keutamaan sekarang adalah mendirikan kemudahan ini di Kapit, Sibu dan Bintulu," jelas beliau lagi. 

Aaron berkata, Pusat Sehenti COVID-19 yang dibuka di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Kuching telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

Katanya dengan adanya pusat sehenti seumpama itu, semua sumber termasuk tenaga kerja dan pengangkutan dapat ditumpukan di satu tempat, untuk membantu mengatasi kekangan tenaga kerja dan pengangkutan dalam memerangi pandemik COVID-19.

Advertisement