Anda di sini

Polis berkas tiga lelaki geng curi duit dobi layan diri

Advertisement
 ACP A. Asmadi (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media mengenai kes pecah kedai dobi dan kedai runcit di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, dekat Ipoh semalam. — Gambar Bernama
TUMPAS: ACP A. Asmadi (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media mengenai kes pecah kedai dobi dan kedai runcit di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, dekat Ipoh semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Polis memberkas tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di Bercham dan Tambun, di sini, akhir bulan lepas, selepas dipercayai terlibat mencuri duit di kedai dobi layan diri selain memecah masuk kediaman serta premis perniagaan, di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata dalang utama iaitu seorang lelaki berumur 25 tahun ditahan di sebuah rumah di Bercham, 25 April lepas, manakala dua yang lain, berumur 21 dan 26 tahun, ditahan sejurus kemudian pada hari sama di kawasan Tambun.

“Siasatan mendapati lelaki terbabit (dalang utama) merupakan tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dari Selangor mulai 4 Mac tahun lepas atas kesalahan mencuri dan mempunyai 29 kes lampau termasuk berkaitan dadah.

“Lelaki ini dipercayai menggunakan kepakarannya untuk merekrut ahli geng,” katanya pada sidang media di sini semalam dan menambah bahawa kedua-dua lelaki yang ditahan di Tambun turut mempunyai rekod jenayah.

Beliau mendedahkan antara modus operandi mereka adalah menyewa sebuah kereta Volkswagen Tiguan sebelum berkeliaran menghidu peluang bagi melakukan jenayah di kawasan Tambun, Ampang Baru, Simpang Pulai serta Kampung Rapat, sejak 10 April lepas.

Menurutnya bagi mengelakkan kegiatan tersebut dihidu polis, kesemua lelaki terbabit akan bergerak pada waktu malam atau awal pagi untuk mencuri duit dan barang berharga di dobi layan diri, inap desa dan lot perniagaan dalam 16 kes yang dilaporkan dengan anggaran kerugian berjumlah RM50,000.

Selain penahanan ketiga-tiga lelaki terbabit, polis turut merampas pelbagai peralatan untuk memecah masuk kediaman atau premis perniagaan selain barangan elektronik, kotak rokok, botol minuman keras dan dokumen peribadi, katanya.

A.Asmadi berkata ketiga-tiga lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala pihaknya kini sedang mengesan seorang lagi individu berumur 25 tahun yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan tersebut. — Bernama

Advertisement