Anda di sini

KPLB baik pulih 8,291dan bina 1,428 rumah PPRT: Henry

Advertisement
 Henry Sum Agong (tengah) melakukan lawatan Asrama Institut Kemajuan Desa (INFRA) selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di INFRA semalam. — Gambar Bernama
TINJAUAN: Henry Sum Agong (tengah) melakukan lawatan Asrama Institut Kemajuan Desa (INFRA) selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di INFRA semalam. — Gambar Bernama

BANGI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah membaik pulih 8,291 rumah dan membina 1,428 rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menterinya Datuk Henry Sum Agong berkata ia memberi manfaat kepada lebih 48,000 golongan miskin dan miskin tegar.

“KPLB juga telah membina Jalan Luar Bandar (JALB) sepanjang 182.85 km yang memberi manfaat kepada 42,700 penduduk di kawasan luar bandar untuk ke kawasan bandar dan tempat awam lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Perhimpunan Bulanan KPLB dan KPLB Learning Hub di Institut Kemajuan Desa (INFRA) di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata KPLB juga telah menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada 10,917 rumah yang memberi manfaat kepada 54,585 penduduk luar bandar di seluruh negara.

Katanya Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) turut melaksanakan pelbagai projek pada tahun lepas termasuk Projek Kelestarian Tanah, Projek Agrotek Desa, Projek Pertanian Petani Luar Bandar dan Program Bantuan Projek Ekonomi.

KPLB membelanjakan 92 peratus iaitu RM5.16 bilion daripada peruntukan bagi pembangunan luar bandar di negara ini pada tahun lepas.

Dalam pada itu, Henry berkata penghijrahan penduduk bandar ke luar bandar pada 2018 yang tinggi iaitu 19.5 peratus berbanding 4.8 peratus bagi penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar membuktikan berlaku peningkatan kegiatan ekonomi di kawasan luar bandar.

KPLB Learning Hub merupakan platform pembelajaran digital talian berkualiti tinggi, yang menyerupai E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA) dengan kandungan Percipio Skillsoft dan boleh diakses melalui https://kplblearninghub.percipio.com.

Ia menyediakan kemudahan akses program latihan digital kepada warga KPLB, jabatan dan agensi yang boleh diakses secara fleksibel selain mewujudkan platform penawaran latihan atau program pembangunan kompetensi berbentuk dalam talian, video dan bahan multimedia.

Henry berkata, KPLB Learning Hub secara langsung menyumbang ke arah melengkapi Revolusi Industri 4.0 dalam usaha menjadikan perkhidmatan awam terus maju seiring dengan hasrat kerajaan seperti yang digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Jelasnya, seramai 1,300 warga KPLB terlibat dalam pembelajaran digital mulai bulan ini sehingga April 2022.

KPLB Learning Hub berkenaan akan menjimatkan masa 40 hingga 60 peratus berbanding pembelajaran konvensional dalam kelas dengan kos kewangan rendah dan menjadi keperluan dalam era norma baharu bagi membendung penularan COVID-19. — Bernama

Advertisement