Anda di sini

Kimchi Siti Hajar, resepi Korea citarasa Malaysia.

Advertisement
Siti Hajar menunjukkan bahan-bahan untuk membuat Kimchi.

Banyak khasiat yang terkandung dalam Kimchi, sejenis makanan berasal dari Korea yang digemari masyarakat Malaysia.

Siti Hajar Ahmat, pengusaha dan peniaga Kimchi yang telah menceburi bidang berkenaan sejak tujuh tahun lepas berkata, ia merupakan antara Superfood yang tinggi probiotik.

“Sebenarnya saya mula tertarik dengan khasiat Kimchi apabila saya sendiri mengalami masalah perut. Kebetulan juga ketika tinggal di Wangsa Maju kawasan kejiranan didiami banyak orang Korea. Ada seorang teman yang memperkenalkan Kimchi, saya cuba dan rasanya sedap.

“Dari situlah saya mula tertarik hendak menghasilkan Kimchi sendiri dan mengembangkannya untuk diniagakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Petra Jaya, Kuching.

Khasiat Kimchi
•    Mengandungi probiotik
•    Rendah kalori
•    Menurunkan kolestrol
•    Menghindari kanser perut
•    Anti-penuaan
•    Meningkatkan daya tahan badan
•    Bersifat antioksidan
•    Membantu menurunkan berat badan
•    Mencantikkan kulit dan rambut bersinar
•    Kaya vitamin A, B1, C, Asid Amino, Zat Besi dan Kalsium
Khasiat ini disenaraikan oleh Siti Hajar menerusi kad perniagaannya.

 

Menurutnya, Kimchi dihasilkannya kurang masam berbanding resepi asal Korea. Mungkin sebab itu ramai pelanggan memuji produknya dan menjadi pelanggan setia.

Setelah berjaya mendapat keyakinan para pelanggan, beliau yang merancang untuk berpindah semula ke Kuching kini dalam proses mengembangkan perniagaan dalam taliannya.

“Saya cuba meneroka pasaran Kuching dan Sarawak setelah berpindah ke sini baru-baru ini. Alhamdulillah setakat ini sambutan amat menggalakkan,” ujarnya.

Disebabkan produknya yang berkualiti, tempahan turut diterima daripada pelanggan di Sibu dan Bintulu. 

Beliau memasarkan produk menggunakan Facebook Kimchi Malaysia, Shopee dan Instagram.

Siti Hajar mampu menghasilkan 60 botol yang mengandungi 500 gram Kimchi dalam seminggu.

Dengan tagline ‘Resepi asli Korea dengan citarasa Malaysia’, sebotol Kimchi dijual RM25.

Ia boleh tahan hingga setahun.

Antara bahan-bahan membuat Kimchi ialah kobis panjang, lobak merah, lobak putih, bawang putih, bawang besar, halia, sos ikan dan serbuk cili Korea.

Advertisement