Anda di sini

Frances McDormand sertai kelab elit Oscar

Advertisement
 Pemenang Oscar aktres terbaik McDormand bergambar bersama aktres pembantu terbaik Yuh-Jung Youn (kiri) dan aktor pembantu terbaik Daniel Kaluuya (tengah). — Gambar AFP
PELAKON TERBAIK: Pemenang Oscar aktres terbaik McDormand bergambar bersama aktres pembantu terbaik Yuh-Jung Youn (kiri) dan aktor pembantu terbaik Daniel Kaluuya (tengah). — Gambar AFP

BINTANG ‘Nomadland’ Frances McDormand menyertai kumpulan paling elit Hollywood selepas Oscar lakonan ketiga beliau, dalam watak yang tidak glamor melakonkan seorang balu yang tinggal dalam van buruk.

McDormand menjadi antara hanya tujuh pelakon dengan tiga anugerah Oscar, dan wanita keempat selepas Meryl Streep, Ingrid Bergman and Katharine Hepburn.

Beliau juga berkongsi Oscar filem terbaik sebagai salah seorang penerbit filem tersebut.

Wataknya Fern ialah yang terkini dalam filem berkisar keperitan dan penderitaan panjang seorang wanita yang dilakonkan oleh pelakon berumur 63 tahun itu, yang telah menampilkan hasil karier tersendiri terutamanya dalam filem indie.

Karektor beliau dalam ‘Nomadland’ sedang mencari arah tuju selepas kematian suaminya dan tempat tinggal mereka terdahulu di Empire, Nevada telah memaksa populasinya untuk pergi.

Keperitan Fern merupakan cermin kepada beribu warga Amerika yang dipinggir masyarakat selepas Zaman Kejatuhan pada hujung 2000-an dan yang terkini, pandemik ini.

“Ini ialah dokumentari yang hebat dalam era spesifik dunia kita. Semua orang berada di jalanan,” kata McDormand.

Oscar pertama McDormand untuk pelakon terbaik diperolehi pada 1997 untuk watak beliau sebagai Marge Gunderson, dalam ‘Fargo’, yang diarahkan oleh suaminya Joel Coen bersama saudaranya Ethan.

Anugerah Academy terbaru beliau diperolehi tiga tahun lalu, dalam ‘Three Billboards Outside Ebbing, Missouri’.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berasal dari Kanada di Chicago, Illinois pada 1957, McDormand belajar di Sekolah Drama Yale dan mula bekerja di teater.

Filem pertama yang beliau lakonkan adalah ‘Blood Simple’ pada 1984, yang juga merupakan filem sulung untuk Coen bersaudara. Tahun itu juga adalah tahun di mana beliau mengahwini Joel. Mereka mempunyai seorang anak lelaki yang kini sudah pun dewasa.

McDormand, telah tampil dalam sembilan filem beradik Coen, selalu berjenaka bahawa beliau bukan seorang bintang filem, meskipun telah muncul dalam 41 filem sepanjang empat dekad.

Bukan sahaja dengan tiga kemenangan Oscar, kegemaran Academy itu juga telah tiga kali dicalonkan, seawal 1988 sebagai pelakon pembantu dalam ‘Mississippi Burning’.

Beliau dicalonkan lagi dalam kategori sama untuk ‘Almost Famous’ (2000) dan ‘North Country’ (2005).

Penampilan akan datang McDormand ialah drama komedi Wes Anderson, ‘The French Dispatch’, diikuti kolaborasi dengan suaminya Joel dalam ‘The Tragedy of Macbeth’.

Dalam kesemua wataknya, lakonan McDormand sebagai Fern sebagai nomad kehidupan sebenar seperti yang digambarkan dalam buku bukan fiksyen wartawan Jessica Bruder, adalah yang paling dekat di hati.

“Saya pernah memberitahu suami saya... apabila saya memasuki usia 65 tahun saya mahu menukar nama saya kepada Fern, merokok Lucky Strikes, minum Wild Turkey dan membuat perjalanan dalam RV saya,” kata McDormand semasa tayangan perdana filem itu pada musim luruh lepas di California.

“Saya berpeluang melakukan itu empat tahun lebih awal.”

Berlakon bersama pengarah Chloe Zhao merupakan pengalaman yang amat mendalam bagi McDormand, yang menceritakan beliau telah ditawarkan untuk bekerja di pasaraya Target ketika penggambaran itu.

Tinggal di jalanan dalam keadaan asas semasa penggambaran di negeri terpencil seperti Nebraska dan Dakota Selatan telah mengajar beliau nilai rendah diri. — AFP

Advertisement