Anda di sini

Wanita dipenjara lima tahun angkara dadah

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita bekerja sendiri dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis syabu dan nimetazepam. 

Hakim Maris Agan turut memerintahkan tertuduh, Lisa Noorhaiyati Mohamed Yusof, 21, untuk dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita beralamat di Kampung Pulo Ulu itu didakwa memiliki syabu seberat 34.61 gram manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 0.01 gram nimetazepam.

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukannya pada 2 Februari lalu, jam 12.15 tengah hari semasa berada di tempat letak kereta di MJC Batu Kawa, di sini.

Semasa pihak polis melakukan pemeriksaan terhadap tertuduh, mereka menjumpai satu peket plastik lutsinar besar dan satu peket plastik lutsinar kecil yang masing-masing di dalamnya berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah berbahaya jenis syabu.

Pihak polis turut menemui tiga kertas kerajang timah mengandungi beberapa biji pil.  

Sehubungan itu bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula menyaksikan dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh merayu agar diberikan hukuman minimum dengan alasan dia mempunyai keluarga untuk ditanggung.

Tertuduh juga memaklumkan mahkamah bahawa dia membantu ibunya menjual mi kolok di sebuah kedai di Bandar Baru Semariang. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ruthra Raj. 

Advertisement