Anda di sini

Taska untuk anak pekerja perkhidmatan perlu dibenar beroperasi mulai esok - Fatimah

Advertisement
Fatimah mengadakan sidang media mengenai pembukaan taska yang memberi perkhidmatan kepada anak-anak ibu bapa bekerja dalam sektor perkhidmatan penting di zon merah COVID-19, di Sarawak, hari ini.
Fatimah mengadakan sidang media mengenai pembukaan taska yang memberi perkhidmatan kepada anak-anak ibu bapa bekerja dalam sektor perkhidmatan penting di zon merah COVID-19, di Sarawak, hari ini.

KUCHING: Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) yang berdaftar dan memberi perkhidmatan kepada anak-anak ibu bapa yang berkhidmat dalam perkhidmatan perlu di zon merah COVID-19  Sarawak dibenarkan beroperasi, berkuat kuasa esok.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sebelum ini hanya taska berdaftar yang memberi perkhidmatan kepada anak-anak petugas barisan hadapan dibenarkan beroperasi di zon merah COVID-19.

"Setelah merujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), keputusan dibuat agar taska yang telah memohon dan diluluskan oleh kementerian kami untuk memberi perkhidmatan kepada anak-anak petugas barisan hadapan (di zon merah COVID-19), juga dibenarkan untuk memberi perkhidmatan kepada anak-anak ibu bapa yang tergolong dalam perkhidmatan perlu berkuat kuasa 5 Mei 2021.

"Kita membenarkan taska yang mempunyai anak-anak ibu bapanya berkhidmat dalam perkhidmatan perlu beroperasi (di zon merah COVID-19) tetapi pengusaha perlu mengemukakan permohonan kepada kementerian bagi tujuan pengesahan dan pemantauan dari masa ke masa," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata antara perkhidmatan perlu yang digariskan JPBNS ialah sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, pertanian dan komoditi serta perniagaan logistik.

Fatimah berkata sebelum ini kementeriannya telah membenarkan 65 taska yang memberi perkhidmatan kepada anak-anak petugas barisan hadapan di zon merah COVID-19.

Beliau berkata semua taska dan Taman Didikan Kanak-Kanak (tadika) di zon merah COVID-19 diarah tutup selama 14 hari berkuat kuasa 20 April 2021 hingga 3 Mei 2021, dan dilanjutkan lagi sehingga 10 Mei 2021.

"Kementerian bagaimanapun telah menerima permohonan untuk pengoperasi taska yang memberi perkhidmatan kepada anak-anak petugas barisan hadapan.

"Setakat 30 April 2021, 78 permohonan telah diterima daripada pengusaha taska dan 65 telah diluluskan melibatkan 187 orang anak-anak petugas barisan hadapan. 12 lagi permohonan tidak diluluskan kerana tidak mempunyai anak-anak petugas barisan hadapan manakala sebuah lagi tidak berdaftar.

Manakala ujarnya, taska di luar zon merah, kebenaran beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

"Semua pengusaha yang diluluskan beroperasi serta para ibu bapa, guru pendidik, pengasuh dan petugas serta kanak-kanak perlu memastikan SOP dikeluarkan KWKPK dilaksanakan dengan ketat dan dipatuhi sepenuhnya demi mengekang penularan pandemik COVID-19.

"Sekiranya terdapat anak atau ahli keluarga yang tidak sihat, maka anak tersebut tidak dibenarkan hadir ke taska, dan ibu bapa perlu memaklumkan kepada pihak taska mengenai perkara ini," ujarnya.

Penutupan tadika dan taska dalam zon merah melibatkan 2,518 buah tadika dan 213 taska.

  • oleh
  • Advertisement