Anda di sini

SPRM siasat jika ada unsur penawaran wang terhadap ahli politik lompat parti

Advertisement
Azam ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Strategik antara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan SPRM di Auditorium JKKN hari ini. - Gambar Bernama
Azam ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Strategik antara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan SPRM di Auditorium JKKN hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya bertindak menyiasat ahli politik yang melompat parti, jika terdapat bukti adanya unsur penawaran wang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, sebaliknya mana-mana ahli parti politik mempunyai kebebasan melompat parti, kerana tiada undang-undang boleh digunakan atas perkara terbabit. 

“Tidak ada lagi undang-undang melarang mana-mana pihak untuk pergi ke parti lain… ‘anti-hopping law’ ini tidak wujud.

“Ini juga bukan satu kesalahan. Yang SPRM siasat adalah ke atas sebarang bukti penawaran wang berlaku seperti semasa meraih sokongan,” katanya ditemui pemberita pada program kerjasama strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bersama SPRM di sini, hari ini.

Pada 30 April lalu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, meminta supaya suruhanjaya itu menyiasat dakwaan unsur penglibatan rasuah berkaitan ahli politik yang melompat parti.

Mengulas mengenai gesaan Abdul Hamid untuk melakukan siasatan berhubung campur tangan ke atas Suruhanjaya Pasukan Polis Azam berkata, perkara itu di luar bidang kuasa SPRM.

“Hal ini melibatkan isu dalaman pasukan keselamatan terbabit, jadi maka biarlah polis sendiri selesaikan,” katanya.

Azam merujuk kepada dakwaan Abdul Hamid bahawa ada individu politik atau menteri telah mencampuri urusan dalaman PDRM.

Antara dakwaan dibuat Abdul Hamid ialah, cubaan mereka mengatur pelantikan pegawai-pegawai kanan dalam pasukan keselamatan terbabit. - Bernama

Advertisement