Anda di sini

Semua 101 kru pelantar Naga 7 disahkan selamat - ConocoPhillips

Advertisement
Keadaan rig pengerudi Naga 7 yang semakin tenggelam di perairan Bintulu-Miri.
Keadaan pelantar penggerudian Naga 7 (kanan) yang semakin tenggelam di perairan Bintulu-Miri awal pagi tadi. 

MIRI: ConocoPhillips Sarawak Ltd mengesahkan kesemua 101 kru yang bertugas di pelantar penggerudian Naga 7 di perairan Bintulu-Miri selamat dan dibawa ke Miri. 

Syarikat itu dalam kenyataannya kepada Utusan Borneo hari ini, memberitahu kejadian pelantar penggerudian Naga 7 yang karam perairan Sarawak, berlaku kira-kira 2.45 petang, 3 Mei, ketika ia melakukan kerja-kerja penggerudian (telaga minyak) di blok Salam 3. 

Pelantar berkenaan terletak kira-kira 120 batu nautika dari pantai Bintulu dan kira-kira 135 batu nautika dari Miri.  

"Pasukan Tindakan Kecemasan kami telah digerakkan (ke Naga 7) dan pihak berkuasa lain yang berkaitan telah dimaklumkan.

"Keutamaan dan perhatian utama kami adalah keselamatan orang-orang kami dan kami mengesahkan bahawa semua pekerja telah dipindahkan dari Naga 7. Tidak ada kecederaan atau kerosakan persekitaran yang diketahui," demikian menurut kenyataan itu lagi. 

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, mengesahkan pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan turut memberi kelulusan serta-merta untuk kesemua 101 kru berkenaan mendarat Offshore Transit Center (OTC) di sini. 

"Ini adalah kes kecemasan di laut dan kita memberi kelulusan dan kebenaran segera kepada mereka untuk mendarat di Miri (OTC). 

"Seperti yang tertakluk dengan syarat yang ditetapkan, kesemua 101 kru akan dipasangkan wristband dan diberikan surat arahan kuarantin wajib oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebaik sahaja tiba di Pelabuhan Miri," ujar Lee ketika dihubungi oleh Utusan Borneo di sini, hari ini. 

Menurut beliau lagi, kesemua 101 kru itu juga menjalani perintah kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditentukan oleh pihak syarikat itu sendiri, dengan semua kos ditanggung oleh pihak syarikat. 

Kru pelantar tiba di Miri pagi ini.
Kru pelantar tiba di Miri pagi ini.
  • oleh
  • Advertisement