Anda di sini

Kerajaan peruntuk kos tinggi beli vaksin demi rakyat

Advertisement
 Ruddy (kiri) berucap merasmikan Program IOW di Kg.Sungai Eloi, Mukim Telaga.
BERUCAP: Ruddy (kiri) berucap merasmikan Program IOW di Kg.Sungai Eloi, Mukim Telaga.

PITAS: Kerajaan memperuntukan kos yang tinggi untuk pembelian vaksin demi kesejahteraan rakyat.

Pembantu Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Seri Ruddy Awah berkata, usaha itu bagi memastikan rakyat kekal sihat dan menjalani hidup dengan ceria. 

Justeru katanya, masyarakat perlu memberi kerjasama dengan mendaftar sebagai penerima vaksin sama ada melalui aplikasi MySejahtera ataupun dengan hadir ke pusat-pusat kesihatan berhampiran untuk didaftarkan.

"Kerajaan memperuntukkan kos yang tinggi untuk pembelian vaksin demi memastikan rakyat kekal sihat dan menjalani hidup dengan penuh keceriaan.

"Oleh yang demikian, saya menyeru orang ramai agar segera mendaftar untuk mendapat vaksin sama ada melalui MySejahtera atau secara manual di mana-mana pusat kesihatan," jelasnya.

Ruddy yang juga ADUN Pitas memaklumkan jumlah pendaftaran penerima vaksin bagi daerah itu masih terlalu rendah dan mahu program menggalakkan pendaftaran itu dipergiatkan lagi terutama bagi kawasan luar bandar yang capaian jalur lebar tidak memuaskan.

"Sekurang-kurangnya, program murni ini dapt meningkatkan peratus pendaftaran penerima vaksin di daerah ini sekali gus menjayakan Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK)," katanya kepada media selepas merasmikan Program Info On Wheels (IOW) di Kg.Sungai Eloi, Mukim Telaga.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Jimin Pangut mendedahkan program itu dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Pitas dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Pitas.

Selain ceramah, pameran dan agihan bahan risalah, program diisi dengan aktiviti pemeriksaan suhu badan dan pendaftaran vaksinasi COVID-19 secara manual. 

Antara yang hadir pada program itu ialah UPPM Pitas Ramlah Nasir dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Arifin Matasin.

Advertisement