Anda di sini

Jun Hoong layak ke Olimpik Tokyo

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bekas juara dunia Cheong Jun Hoong akhirnya layak ke Sukan Olimpik Tokyo Julai hadapan, selepas mengungguli pusingan awal acara 10 meter (m) platform individu wanita di Piala Dunia Terjun FINA 2021 hari ini.

Kejayaan Jun Hoong itu berikutan mengumpulkan 345.30 mata untuk layak ke peringkat separuh akhir, pada acara yang akan berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, di Jepun esok.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam Facebook mereka hari ini mengesahkan slot Olimpik Tokyo itu.

“Tahniah!, Cheong Jun Hoong telah berjaya meraih satu slot lagi ke temasya Sukan Olimpik 2020 dalam acara 10m platform wanita,” seperti yang dimuat naik dalam akaun Facebook tersebut.

Seorang lagi penerjun kebangsaan Pandelela Rinong, juga turut layak ke separuh akhir selepas menduduki tempat keempat dengan 325.00 mata.

Sementara itu, Wendy Ng Yan Yee berpeluang untuk memberikan Malaysia emas pertama mereka di Piala Dunia itu, apabila akan beraksi dalam peringkat akhir acara 3m papan anjal individu wanita, lewat hari ini.

Kejayaan itu sebagai mengubat kekecewaan kegagalan pasangan Pandelela-Leong Mun Yee memenangi pingat selepas hanya menduduki tempat keempat dalam acara akhir 10m platform seirama, pada Ahad.

Piala Dunia Terjun FINA 2021 yang berlangsung dari 1 hingga 6 Mei adalah kejohanan kelayakan terakhir untuk menempah tiket ke Olimpik Tokyo 2020.

Jun Hoong mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila beliau menjadi penerjun wanita Malaysia pertama yang memenangi gelaran dunia dalam acara 10m platform individu di Kejohanan Terjun Dunia, di Budapest, Hungary di 2017, setahun selepas memenangi pingat perak Olimpik di Rio bersama Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama. - Bernama 

Advertisement