Anda di sini

Jelajah Ramadan Parlimen Kinabatangan dilaksana dalam norma baharu

Advertisement
 Bung (tengah) menyampaikan replika cek kepada salah seorang wakil penerima Matmin Etin.
SUMBANGAN: Bung (tengah) menyampaikan replika cek kepada salah seorang wakil penerima Matmin Etin.

SANDAKAN: Tradisi Program Jelajah Ramadan Parlimen Kinabatangan tahun ini dilaksanakan dalam suasana norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh dua tahun ini tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Wabak COVID-19 memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat termasuk umat Islam. Tidak lagi dapat berkumpul beramai-ramai dan menjejaskan ekonomi rakyat," katanya.

Menteri Kerja Raya ini berkata demikian selepas melancarkan Program Jelajah Ramadah Parlimen Kinabatangan dan Majlis Berbuka Puasa UMNO Bahagian Kinabatangan di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, rakyat khususnya umat Islam bukan sahaja terjejas akibat wabak COVID-19, malah langkah-langkah yang diambil bagi mengekang penularannya turut membatasi mereka untuk mencari nafkah kehidupan.

Bung berkata, pendekatan program tradisi program itu tidak lagi sama tahun ini tanpa perkumpulan secara beramai-ramai, majlis berbuka dan majlis penyerahan.

Katanya, agihan sumbangan hanya akan digerakkan oleh kakitangan Pusat Khidmat Parlimen dan pemimpin masyarakat setempat.

"Kami akur banyak yang perlu dipatuhi dalam tempoh memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 ini. Namun begitu, tidak sedikit pun mematahkan semangat kami untuk terus membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Beliau berharap, dengan sedikit sumbangan itu, ia dapat meringankan  beban keluarga yang terjejas terutamanya golongan asnaf untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, walaupun diraikan secara sederhana bersama keluarga terdekat.

Pada masa sama, Bung turut mengingatkan rakyat khususnya di kawasan Parlimen Kinabatangan dalam merayakan sambutan Hari Raya tahun ini, agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengekang  penularan COVID-19.

Program berkenaan dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat dan hanya dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kinabatangan dan wakil penerima sumbangan.

Turut hadir, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan Datuk Jafry Ariffin; Naib Ketua UMNO Kinabatangan Pg Aziz Pg Damsah; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kinabatangan Aminah Johan; dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kinabatangan Mohd Khurniawan Naim Moktar.
 

  • oleh
  • Advertisement