Anda di sini

Ingkar SOP, pasar raya dikompaun RM10,000

Advertisement
 

BINTULU: Sebuah pasar raya di Jalan Tun Hussein Onn di sini dikompaun RM10,000 pada Isnin (3 Mei) kerana gagal mengawal jumlah kemasukan pelanggan ke premis terbabit pada satu-satu masa.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, pemeriksaan yang dijalankan sepasukan polis dari Balai Polis Pusat Bintulu yang diketuai ASP Mohd Sani Junid sekitar jam 9.45 pagi itu mendapati premis berkenaan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati pasar raya terbabit tidak mengawal kemasukan pelanggan dalam premis yang mana hanya membenarkan 50 peratus sahaja dari kapasiti premis  pada satu-satu masa sebagaimana yang ditetapkan dalam SOP," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pasar raya itu dalam masa sama ujarnya didapati tidak mengeluarkan notis mengenai had maksimum pelanggan yang dibenarkan masuk bagi membeli barangan keperluan harian di situ.

Perbuatan ini katanya jelas melanggar SOP sedia ada sebagaimana yang ditetapkan dalam PKPB SOP Diperketatkan yang dilaksanakan di Bintulu dan sudah dikenakan kompaun di bawah Peraturan 19(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) PKPB (No.4) 2021.

"Polis akan meneruskan pemeriksaan serta pemantauan ke setiap premis niaga  khususnya kawasan tumpuan orang dari masa ke masa bagi memastikan SOP terus dipatuhi sekaligus memutuskan rangkaian jangkitanCOVID-19 di bahagian ini, " tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement