KUCHING: Pengorbanan dan komitmen yang tinggi para petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan jangkitan COVID-19 wajar dihargai semua pihak, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Abdullah Saidol.
Selain menghargai petugas barisan hadapan, beliau mengingatkan masyarakat tentang mustahaknya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menjayakan sasaran kerajaan untuk mengurangkan kes COVID-19.
“Dalam kita merasa resah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berbagai sekatan, petugas barisan hadapan pula berkorban masa dan tenaga menjalankan tugas.
“Kita perlu menghargai pengorbanan mereka dan untuk itu kita perlu berkorban dari segi pematuhan SOP mengekang penularan wabak COVID,” katanya ketika ditemui pada Program Terima Kasih Frontliners di Pusat Kuarantin Dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) Kompleks Belia Dan Sukan di sini pada malam Isnin (3 Mei).
Selepas menyampaikan sumbangan di Kompleks Belia dan Sukan, Abdullah yang turut disertai Pengarah UKAS, Samat Junai bergerak ke Sekatan Jalan Raya (SJR) Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, SJR Kampung Daun, Singai, PKRC Pusat Latihan Staf Unimas Bau dan SJR Jalan Bau-Serikin.
Program Terima Kasih Frontliners 2021 bertujuan menunjukkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada petugas barisan hadapan.
Antara lain pengisian program ini adalah penyampaian sumbangan kepada para petugas barisan hadapan.
Program tersebut bukan sekadar sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan malah turut mengajak masyarakat untuk bersama-sama menghargai pengorbanan mereka.
“Antara matlamat utama kami warga UKAS untuk menziarahi mereka selain menyampaikan sumbangan, singgah sekejap dan bertanya khabar adalah membawa mesej kepada masyarakat untuk bersama-sama menghargai pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus 24 jam menjalankan tanggungjawab,” katanya.
Program ini menurutnya turut akan diadakan pada 5 Mei di Miri dan pada 6 Mei di Sibu.