Anda di sini

Dua kluster baharu, Mongkos dan Bungey 

Advertisement
 

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan dua kluster baharu iaitu Kluster Mongkos, Tebedu dan Kluster Bungey, Betong hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata kluster Mongkos, Tebedu merupakan kluster komuniti di mana indeks kes adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun.

Menurutnya, lelaki terbabit yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di pusat beli belah Vivacity dikesan melalui saringan bergejala pada 16 April dan disahkan positif COVID-19 pada 17 April.

"Dipercayai kes indeks mendapat jangkitan dari komuniti di Kuching dan membawa jangkitan tersebut kepada ahli keluarga dan komuniti di Kampung Mongkos. Perebakan jangkitan turut melibatkan sebuah sekolah rendah di Tebedu dan sekolah menengah di Serian," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya juga, saringan COVID-19 telah dilakukan ke atas kontak keluarga serta rapat kepada kes indeks, di mana 14 (termasuk kes indeks) daripadanya dikesan positif dan dimasukkan ke PKRC Serian.

"Sejumlah 70 individu disaring, 14 positif, 37 negatif dan 19 lagi masih menunggu keputusan makmal," katanya.

Manakala untuk kluster Bungey, Betong pula dikesan melibatkan sebuah kampung di Debak, Betong yang mana kes indeks adalah seorang warga tempatan yang dikesan melalui saringan bergejala pada 28 April.

"Sejumlah 497 individu disaring dan 12 dikesan positif COVID-19, 392 kes adalah negatif dan 93 lagi masih menunggu keputusan makmal.

"Kes indeks telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan 11 lagi yang positif dirujuk ke PKRC Betong untuk rawatan lanjut dan pengasingan," katanya.

Sebanyak 78 kluster lagi masih aktif di mana 19 kluster merekodkan 145 penambahan kes baharu, manakala 59 kluster tidak merekodkan penambahan kes.

Sementara itu, daerah Tatau hari ini kembali ke status jingga daripada merah selepas merekodkan hanya 30 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari menjadikan empat daerah berstatus jingga setakat hari ini.

"Daerah Belaga pula bertukar ke status merah setelah merekodkan 56 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari.

"Keseluruhannya (hari ini) sebanyak 24 daerah berstatus merah,  12 daerah kekal kuning dan tiada daerah berstatus hijau," katanya.

  • oleh
  • Advertisement