Anda di sini

Didenda RM6,000 memiliki mercun

Advertisement
 

KOTA SAMARAHAN: Seorang pendandan rambut didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana selepas mengaku bersalah memiliki mercun dan bunga api tanpa kebenaran.

Majistret Iris Awen Jon turut memerintahkan Yap Chin Hui, 31, untuk dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa memiliki mercun dan bunga api di kediamannya di Jalan Stakan, di sini, pada 30 Disember 2020, jam lebih kurang 8 malam.

Hasil siasatan mendapati tertuduh menyimpan 57 kotak mercun pelbagai jenama di rumahnya dan dia turut menjadikan rumah tersebut sebagai tempat penyimpanan mercun.

Laporan kimia turut menyatakan bahawa barang kes yang dianalisis adalah konsisten dengan bunga api.

Tertuduh juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen atau lesen untuk memiliki ataupun menyimpan mercun yang dirampas di rumahnya. 

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh menerusi peguamnya Lim Lian Kee merayu agar tidak dikenakan hukuman berat atas alasan dia hanya mencari pendapatan lebih untuk menanggung perbelanjaan rumah.

Tertuduh juga memaklumkan mahkamah bahawa dia terpaksa menutup perniagaannya dan seterusnya hilang punca pendapatan setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu. 

Tertuduh membayar denda tersebut. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Tan Kian Kok.

  • oleh
  • Advertisement