Anda di sini

Dedikasi dua jam sehari berbakti pada 100 kucing jalanan

Advertisement
 Nor Izyan memberi makan kawanan kucing jalanan di Pantai Cahaya Bulan dekat Kota Bharu semalam. — Gambar Bernama
PENYAYANG: Nor Izyan memberi makan kawanan kucing jalanan di Pantai Cahaya Bulan dekat Kota Bharu semalam. — Gambar Bernama

KOTA BHARU: Hampir setiap petang Nor Izyan Syahida Rosli akan berkunjung ke Pantai Cahaya Bulan, gadis berusia 26 tahun ini bukannya seorang figura terkenal ataupun selebriti, namun kehadirannya amat dinantikan ratusan ‘peminat’ setia di lokasi tersebut.

Sejak setahun lalu, menjadi rutin harian Nor Izyan Syahida datang bersama ‘buah tangan’ buat peminatnya, iaitu lebih 100 ekor kucing jalanan yang rata-rata dibuang pemilik asal, malah ada yang sakit dan amat memerlukan rawatan.

Bercakap kepada Bernama, ‘self feeder and rescuer’ (pemberi makanan dan penyelamat persendirian) kucing jalanan Nor Izyan Syahida berkata, kali pertama beliau datang ke lokasi tersebut kira-kira setahun yang lepas sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua kilogram makanan kucing yang dibawanya habis dalam tempoh singkat.

“Ketika itu, saya lihat sendiri bagaimana kucing di sini mencari makanan, ada yang menyelongkar tong sampah di sekitar lokasi ini tetapi makanan tidak ada. Tersentuh melihat perkara tersebut, saya teruskan aktiviti memberi makanan dan minuman kepada kucing di sini sehingga hari ini,” katanya.

Perlu berulang-alik kira-kira 24 kilometer dari kediamannya di Kampung Langgar ke lokasi tersebut, serta meluangkan masa dua jam dalam kehidupan hariannya untuk aktiviti itu, Nor Izyan Syahida tidak kisah asalkan niat membantu mamalia tersebut dapat dicapai.

“Bantuan untuk makanan kucing disumbangkan oleh ‘Dady Oyen Strays Malaysia’, mereka akan agihkan kepada ‘feeder dan rescuer’ kucing jalanan di seluruh negara termasuk kepada saya.

“Selain itu, sumbangan turut diterima daripada orang awam yang terpanggil untuk turut sama menyalurkan bantuan kepada kucing jalanan di sini dan secara purata sejumlah RM150 diperlukan sehari untuk membeli makanan basah dan kering buat kucing di sini, tidak termasuk ubat-ubatan,” katanya yang mendapat sokongan kuat ahli keluarganya menjalankan aktiviti itu.

Apa yang lebih menarik lagi, Nor Izyan Syahida bukan sahaja meluangkan masa untuk memberi makanan, malah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Hubungan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini, turut memberi rawatan segera kepada kucing yang memerlukan.

“Selain makanan, setiap kali datang ke sini saya turut membawa ubat-ubatan seperti antibiotik, ubat tahan sakit, vitamin, penggalak imunisasi dan makanan pelengkap.

“Ini kerana ada kucing di sini yang memerlukan rawatan kena menghidapi penyakit seperti selesema, demam, sakit mata, cirit-birit, kurap, penyakit kulat sporotrichosis serta diserang virus parvo. Jika kucing mengalami gejala sakit yang ringan, saya akan rawat terus di sini, namun jika penyakit lebih teruk saya akan bawa pulang seterusnya bawa ke klinik veterinar,” katanya.

Setahun menghulurkan bantuan kepada kucing jalanan, Nor Izyan Syahida terus tekad untuk meneruskan aktiviti tersebut, namun amat mengharapkan masyarakat lebih peka untuk tidak membuang mamalia tersebut. — Bernama

Advertisement