Anda di sini

COVID-19: 3,120 kes baharu hari ini

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 hari ini mencatat peningkatan dengan 3,120 kes berbanding 2,500 kes semalam, menjadikan kes kumulatif COVID-19 di negara ini kini 420,632 kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitternya berkata daripada jumlah itu dalam tempoh 24 jam lepas, Selangor masih merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 675 kes diikuti Sarawak (620) dan Kuala Lumpur (408). 

Ia diikuti Johor dengan 336 kes; Kelantan (296); Pulau Pinang (167); Kedah (155); Perak (117); Negeri Sembilan (95); Sabah (89); Terengganu (53); Melaka (52); Pahang (41); Putrajaya (11); Labuan (lima) sementara Perlis tidak merekodkan sebarang kes baharu. 


Dalam kenyataan media itu, Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam lepas juga, sebanyak 2,334 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 387,542 kes manakala kes aktif kini 31,516.

Katanya sejumlah 338 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 181 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan manakala jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 1,574 kes, susulan 23 kematian baharu dilaporkan hari ini.

Jelasnya, terdapat 17 kluster baharu dikenal pasti hari ini melibatkan tujuh kluster komuniti, lima kluster tempat kerja, empat kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) dan satu kluster keagamaan. 

Kluster komuniti berkenaan ialah Kluster Bungey dan Kluster Batu 25 di Sarawak; Kluster Tangkis Selatan dan Kluster Jalan Surian di Johor; Kluster Batu 30, Kelantan; Kluster Jerai Maju, Kedah dan Kluster Layangan Labuan di Labuan.

Kluster tempat kerja pula ialah Kluster Taming Jaya, Selangor; Kluster Persiaran Medini Sentral, Johor; Kluster Jalan Kweng Hitam, Kelantan; Kluster Jalan Yahya 2, Kuala Lumpur dan Kluster Jalan Besar Sungai Jawi, Pulau Pinang. 

Selain itu, kluster pendidikan lain melibatkan Kluster Dah Kilometer Tujuh, Kedah; Kluster Lubuk Katak, Perak; Kluster D'Kuala, Sabah; manakala kluster institusi pendidikan KPM ialah Kluster Jalan Ungku Abdul Aziz, Johor; sementara kluster keagamaan ialah Kluster Taman Sri Lambak di Johor. - Bernama

Advertisement