Anda di sini

Bot penyeludup karam di California, tiga maut, 27 dimasukkan ke hospital

Advertisement
 Gambar serahan Jabatan Bomba San Diego melalui akaun Twitter rasmi mereka SDFD menunjukkan para penyelamat menggunakan kenderaan penyelamat tebing Pengawal Penyelamat San Diego untuk menaikkan mangsa ke paras jalan raya selepas bot tersebut karam luar pantai San Diego, California kelmarin. — Gambar AFP
DISELAMATKAN: Gambar serahan Jabatan Bomba San Diego melalui akaun Twitter rasmi mereka SDFD menunjukkan para penyelamat menggunakan kenderaan penyelamat tebing Pengawal Penyelamat San Diego untuk menaikkan mangsa ke paras jalan raya selepas bot tersebut karam luar pantai San Diego, California kelmarin. — Gambar AFP

LOS ANGELES: Sebuah bot penyeludup yang terlalu padat karam kelmarin di luar pantai California selepas melanggar batu di pesisir pantai, menyebabkan tiga maut dan 27 lagi dimasukkan ke hospital dengan pelbagai kecederaan, menurut pihak berkuasa.

Kemalangan berlaku pagi kelmarin di luar San Diego, dengan semua orang dalam kapal sepanjang 40 kaki itu terjun ke dalam laut bergelombang ketika ia terlerai perlahan-lahan, menurut rakaman video saksi.

“Ia adalah sebuah kapal penyeludup,” Jeffery Stephenson dari Jabatan Hal Ehwal Awam Kastam dan Perlindungan Sempadan memberitahu wartawan.

“Beberapa anggota Peronda Sempadan bersama dengan seorang lelaki yang dipercayai sebagai orang yang menjalankannya.

“Penyeludup tidak kisah mengenai orang yang dieksploitasikan,” jelas beliau.

“Apa yang mereka fikirkan hanyalah keuntungan.

"Mereka  tidak memiliki peralatan keselamatan yang sepatutnya dan jelas sekali kapal tersebut terlalu penuh," tambahnya lanjut.

Mereka yang berada di dalam kapal kemungkinan migran yang cuba untuk memasuki Amerika Syarikat (AS) secara haram, menurut Stephenson.

Seramai 27 orang yang terselamat telah dibawa ke hospital dengan pelbagai peringkat kecederaan, menurut Jose Ysea, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat San Diego.

Anggota kecemasan melakukan tujuh tindakan menyelamat di laut dan satu usaha menyelamat dari tebing curam, kata Ketua Pengawal Penyelamat San Diego James Gartland.

“Ia merupakan satu operasi menyelamat besar-besaran yang bertukar menjadi kemalangan beramai-ramai,” jelas beliau.

Kemalangan berlaku ketika Amerika Syarikat berdepan dengan gelombang besar migran tanpa dokumen yang tiba di sempadan selatannya.

Pihak berkuasa dan migran menyatakan kemasukan itu berpunca daripada kemiskinan dan keganasan yang meningkat di Amerika Tengah, termasuk ikrar Presiden Joe Biden bagi satu polisi yang lebih berperikemanusiaan terhadap pendatang.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS menyatakan Jumaat lepas ia telah mempertingkatkan rondaan di luar pantai San Diego sepanjang hujung minggu bagi menghalang kegiatan penyeludupan manusia.

“Kami telah melihat satu peningkatan dramatik jumlah cubaan penyeludupan maritim baru-baru ini,”  Ketua Ejen Peronda Aaron Heitke dari sektor San Diego Peronda Sempadan AS US telah dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan.

“Semua tindakan merentasi secara haram ini amat berbahaya dan kami telah melihat banyak yang bertukar kepada tragik ketika pihak penyeludup mengorbankan keselamatan orang di dalam kapal bagi tujuan keuntungan.” — AFP

Advertisement